Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) Mohd Hasry Nor (tiga dari kiri) merasmikan Kempen Bebas Beg Plastik dan Polisterina di Bandar Kuala Kubu Bharu pada 19 Ogos. Foto Facebook MPHS
PBTSELANGOR

MPHS galak pengguna bawa beg guna semula, sasar bebas plastik 2025

OLEH YUSLIZA YAKIMIR ABD TALIB

SHAH ALAM, 21 OGOS: Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) menggalakkan orang ramai membawa beg guna semula sebagai sokongan kempen bebas beg plastik di kawasan pentadbirannya.

MPHS berkata inisiatif itu sebagai tanda sokongan terhadap hasrat kerajaan yang menyasarkan tiada lagi penggunaan beg plastik di semua premis dan sektor perniagaan di seluruh negara pada 2025.

“Sebagai tanda komited terhadap usaha tersebut, MPHS mengambil peluang untuk turut serta melaksanakan kempen ini dengan menggalakkan peniaga, peruncit dan pembekal menyertainya.

“Yang DiPertua MPHS, Mohd Hasry Nor Mohd turut menyerahkan pelekat Kempen Bebas Beg Plastik untuk dipamerkan di hadapan beberapa premis sekitar Bandar Kuala Kubu Bharu sebagai tanda sokongan dan kesinambungan program ini pada masa akan datang,” kata MPHS menerusi Facebook.

Kempen Bebas Beg Plastik dan Polisterina tersebut dilancarkan pada Hari Tanpa Kenderaan Daerah Hulu Selangor di Bandar Kuala Kubu Bharu pada 19 Ogos lalu.

Kempen ini adalah salah satu daripada pelan jangka panjang kerajaan dalam menangani isu pencemaran sisa plastik sekali guna di Malaysia.


Pengarang :