Pengarah Baitulmal, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) lndera Shahril Mohd Shahid bercakap kepada media selepas Majlis Seminar Harta Pusaka sempena bulan Faraid Negeri Selangor di Dewan Syarahan & Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 21 Ogos 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Mais: Sistem e-Faraid terima sambutan, permudah urus harta pusaka

SHAH ALAM, 21 OGOS: Sistem pengurusan harta pusaka secara dalam talian (e-Faraid) dibangunkan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mula digunakan secara meluas termasuk untuk pendidikan.

Pengarah Baitulmal Mais, lndera Shahril Mohd Shahid berkata sistem e-Faraid telah digunakan secara meluas dan mudah diakses masyarakat untuk dijadikan panduan awal.

“Setiap hari lebih 100 orang melayari laman sesawang e-faraid untuk mendapatkan gambaran pengiraan dan digunakan pelajar-pelajar untuk pendidikan,” katanya pada Seminar Harta Pusaka sempena bulan Faraid Negeri Selangor hari ini.

Tambahnya, sistem e-faraid yang dilancar sejak 2021 itu membantu masyarakat lebih memahami ilmu faraid dan membuat pengiraan terus.

“Sistem ini mudahkan masyarakat buat kiraan terus… ia bukanlah muktamad tetapi oleh jadi panduan. Ia membantu  masyarakat dengan beri gambaran awal sebelum diputuskan di mahkamah.

“Dengan adanya platform pengurusan harta pusaka secara dalam talian ini, pelanggan juga boleh melantik Mais sebagai pentadbir harta pusaka yang ditinggalkan,” jelasnya.

E-Faraid dilancar Februari 2021 itu merupakan sistem digital merangkumi aspek pengurusan harta pusaka, kaedah pengiraan secara faraid, sistem pemfailan serta laporan pengurusan pegawai.

Menerusi sistem ini, pengurusan harta pusaka lebih telus, adil dan profesional mengikut hukum syarak kepada ahli waris.


Pengarang :