Dato’ Seri Amirudin Shari meletakkan ibu jari ke mesin perakam waktu di pejabat Dato’ Menteri Besar Selangor, bangunan pentadbiran negeri, Shah Alam pada 22 Ogos 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB mulakan tugas penggal baharu hari ini

SHAH ALAM, 22 OGOS: Dato’ Menteri Besar memulakan tugas penggal baharu di bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri (SUK) di sini hari ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari tiba pada jam 7.58 pagi dan mengimbas cap jari serta kad pada perakam masa tepat jam 8.00 pagi di Pejabat Menteri Besar di Tingkat 21 bangunan berkenaan.

Sebaik tiba, beliau disambut Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim serta kakitangan pentadbiran.

Dato’ Menteri Besar ke-16 akan memulakan tugas secara rasmi dengan menghadiri perhimpunan penjawat awam serta melancarkan kempen kibar Jalur Gemilang peringkat negeri di Auditorium Dewan Jubli Perak di sini.

Semalam Ahli Dewan Negeri Sungai Tua mengangkat sumpah jawatan Dato’ Menteri Besar bagi penggal kedua di Istana Alam Shah, Klang di hadapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Amirudin yang juga pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) negeri dilantik semula jawatan itu selepas HARAPAN dan Barisan Nasional memenangi 34 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos lalu.

Pada PRN itu, beliau mempertahankan kerusi Sungai Tua yang disandang sejak 2008 selepas menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Muhammad Hanif Jamaluddin dan G Suman (Bebas).


Pengarang :