Ahli Dewan Negeri (ADN) Tanjung Sepat Borhan Aman Shah mengangkat sumpah ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Ikrar Aku Janji di Istana Alam Shah, Klang pada 21 Ogos 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Borhan harap kekal portfolio sedia ada, mahu terus program dirancang

KLANG, 22 OGOS: Borhan Aman Shah yang dilantik menjadi ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) buat kali kedua berharap kekal memegang portfolio sedia ada bagi meneruskan kesinambungan program dirancang.

Bagaimanapun Ahli Dewan Negeri Tanjong Sepat tidak menolak kemungkinan dua portfolio dipegangnya pada penggal lepas akan diberi kepada ahli MMKN baharu bagi mencapai keserasian.

“Syukur saya masih diberi kepercayaan dan ruang oleh pimpinan parti serta perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj untuk dilantik sebagai EXCO penggal kedua.

“Insya-Allah untuk Stanco saya, saya minta dikekalkan lagi tetapi mungkin ada penambahan dan satu atau dua Stanco kena beri kepada ahli MMKN baharu,” katanya kepada Selangorkini.

Bagaimanapun beliau yang diamanah menjaga portfolio pembangunan luar bandar, kampung tradisi dan adat istiadat melayu, kebudayaan dan warisan sebelum ini terbuka dengan apa jua keputusan pimpinan negeri.

“Ini (portfolio) akan dibincangkan esok (hari ini) bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan ahli MMKN lain selepas perhimpunan penjawat awam.

“Apapun keputusan, saya akan pandang ia sebagai satu tanggungjawab,” katanya.

Terdahulu, Amirudin mengumumkan Borhan, Ng Sze Han (Kinrara) dan Ir Izham Hashim (Pandan Indah) antara tiga EXCO yang berpengalaman penggal lalu dan dikekalkan.

Manakala bekas Speaker Ng Suee Lim dan enam muka baharu dilantik sebagai ahli MMKN.


Pengarang :