ADN Lembah Jaya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad (Altimet) meninjau program Jualan Ehsan Rahmah DUN Lembah Jaya di Flat Taman Kosas, Ampang Jaya pada 22 Ogos 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Jualan murah terus dinanti, 500 penduduk DUN Lembah Jaya tidak lepas peluang

OLEH SHAMZ JOHAN

AMPANG JAYA, 22 OGOS: Lebih 500 penduduk Flat Taman Kosas tidak lepaskan peluang hadir Jualan Ehsan Rahmah (JER) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya di sini, hari ini.

Wakil rakyatnya berkata program JER ini sentiasa dinantikan penduduk kerana harga barangan yang lebih murah dan lokasi berhampiran dengan kawasan kediaman.

“JER ini paling popular, ramai penduduk selalu bertanya bila akan dianjurkan lagi? Insya-Allah, kita akan cuma maksimumkan penganjuran program ini.

“Antara faktornya, harga sangat murah.. harga rahmah, dimana lagi boleh dapat ayam dengan harga RM10?” kata Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad atau lebih dikenali sebagai Altimet.

Selain 500 ekor ayam dan 300 papan telur, barang-barang kering jenama Ehsan seperti sardin, kaya, gula dan sos turut menjadi tumpuan penduduk.

JER diperkenalkan tahun lalu menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Mulai minggu lalu, PKPS turut menjual minyak masak peket sekilogram serendah RM2 sebungkus di beberapa kawasan terpilih dengan kuantiti 170 bungkus untuk setiap lokasi.

Setakat ini JER sudah dianjurkan di 2,400 lokasi seluruh negeri dan dianggarkan ia memberi manfaat kepada 4.5 juta penduduk.

PKPS pernah menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi jualan ayam dan telur bersubsidi terbesar dalam tempoh dua hari sempena Aidilfitri.


Pengarang :