SHAH ALAM, 23 OGOS: Program Jelajah Ehsan Rahmah (JER) yang menawarkan barangan keperluan asas pada harga murah menemui orang ramai di tiga lokasi hari ini.
Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menerusi Facebook memaklumkan jualan diadakan di padang futsal Seksyen 2 Kos Rendah Rinching, Semenyih; Masjid Nurul Huda Kampung Kenangan, MPP MBSJ dan tapak pasar malam Taman Klang Jaya, Sentosa.
Jualan murah yang dijenamakan semula daripada Jelajah Ehsan Rakyat diteruskan hingga Disember ini dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Barangan asas dijual termasuk ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10/pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).
Lokasi terkini JER boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR Jadual JER pada imej infografik PKPS atau rujuk pautan http://linktr.ee/myPKPS
Setakat Julai, penganjuran JER diadakan di lebih 2,400 lokasi dengan mencatat nilai jualan RM60 juta termasuk pemberian subsidi bersasar lebih RM20 juta dari Kerajaan Negeri.