Anggota polis trafik memeriksa motosikal ketika menjalankan Operasi Hormat Undang-Undang Jalan Raya Polis Kuala Lumpur di Bukit Bintang pada 3 Julai 2023. Foto Bernama
AGENDAJENAYAH

8,718 saman dikeluarkan hari pertama operasi saman tembak laju

KUALA LUMPUR, 23 OGOS: Sebanyak 8,718 saman dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara dalam operasi saman tembak laju yang bermula kelmarin.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Mohd Nasri Omar berkata pemandu kereta mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 8,352 saman manakala penunggang motosikal 44 saman.

Beliau berkata kenderaan perdagangan dan perkhidmatan pula merekodkan 322 saman.

“Notis pemberitahuan saman K170A bagi kesalahan memandu melebihi had laju akan disampaikan kepada pemilik kenderaan mengikut alamat lesen memandu secara pos surat berdaftar.

“Semua kesalahan memandu melebihi had laju boleh dikompaun dan boleh dijelaskan di mana mana bahagian trafik daerah di seluruh negara,” katanya semalam.

Mohd Nasri berkata operasi saman tembak laju atau saman ekor dijalankan bagi memberi peringatan kepada pengguna jalan raya agar mematuhi peraturan ditetapkan.

Menurutnya dalam operasi berkenaan, JSPT menggunakan kamera tembak laju bagi merakam pengguna jalan raya yang melanggar had laju ditetapkan dengan saman dan notis saman K170A akan diposkan kemudian.

Katanya kesalahan memandu melebihi had laju antara punca utama kemalangan jalan raya di negara ini.

– BERNAMA


Pengarang :