Seramai 100 peserta terdiri pihak pengurusan dan kakitangan MPAJ, Yayasan TRC serta kumpulan syarikat TRC menyertai program Plogging 2.0 dan kesedaran kitar semula di pekarangan ibu pejabat TRC serta kawasan perumahan sekitar Ampang pada 19 Ogos 2023. Foto MPAJ
PBTSELANGOR

Joging sambil kutip sampah, budayakan amalan hijau, kitar semula

Oleh DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 23 OGOS: Sebanyak 660 kilogram (kg) sampah dikumpulkan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menerusi program ‘Plogging 2.0’ (berjoging sambil mengutip sampah) Sabtu lalu.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) itu berkata menerusi aktiviti dengan kerjasama Yayasan TRC, sampah yang dikumpulkan terdiri 481 kg sampah kitar semula dan 179 kg sampah tabur (dihantar ke tapak pelupusan).

“Program Plogging 2.0 dan kesedaran kitar semula dianjurkan bertujuan budayakan amalan hijau serta kitar semula, pada masa sama mengeratkan hubungan sesama masyarakat khususnya komuniti setempat.

“Antara pengisian lain program adalah taklimat tatacara pengurusan sampah dan kitar semula selaras komitmen MPAJ yang sentiasa menyokong inisiatif sebegini untuk terus memelihara kelestarian alam sekitar khususnya di kawasan pentadbiran MPAJ,” katanya dalam satu kenyataan.


Peserta mengumpul sampah dalam program Plogging 2.0 dan kesedaran kitar semula anjuran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Yayasan TRC di pekarangan ibu pejabat TRC serta kawasan perumahan sekitar Ampang pada 19 Ogos 2023. Foto MPAJ

Bermula seawal 8.30 pagi, program disertai 100 peserta dilaksanakan di pekarangan ibu pejabat TRC dan beberapa kawasan perumahan sekitar Ampang seperti Taman Andaman Ukay, Taman Kelab Ukay, Taman Ukay Tropika dan Taman Bukit Mulia.

MPAJ berkata pihaknya terus komited dalam melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memelihara alam sekitar ke arah membentuk Ampang Jaya sebagai bandar lestari, selari matlamat pembangunan mampan (SDGs).

Pertanyaan lanjut mengenai program kitar semula MPAJ boleh hubungi Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam MPAJ di talian 03-42857044.


Pengarang :