Ketua Pegawai Eksekutif PKNS Dato’ Mahmud Abbas (kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Matrade Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz (tengah) ketika sidang media pada Hari Eksport 2023 Selangor di Pusat Konvensyen Shah Alam pada 23 Ogos 2023. Foto Facebook MATRADE HQ
AGENDANASIONAL

Hari Eksport Selangor medium bantu lebih ramai usahawan tembusi pasaran global

SHAH ALAM, 23 OGOS: Hari Eksport Selangor anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menjadi medium terbaik membantu lebih ramai usahawan menembusi pasaran global seterusnya melengkapi ekonomi negeri.

Ketua pegawai eksekutifnya berkata program dua hari di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini yang membuka tirainya hari ini menyediakan pelbagai ruang kepada usahawan mikro, kecil dan sederhana memperluas perniagaan.

Menurut Dato’ Mahmud Abbas, program bersama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar (Matrade) turut menyediakan ilmu keusahawanan melalui pelbagai program dan modul.

“Diharapkan mereka yang berminat dan ingin menceburi pasaran eksport dapat menyertai program ini. Mereka berhubung dengan Bahagian Pembangunan Usahawan kami,” katanya dalam kenyataan.

Sesi forum sepanjang dua hari program meliputi sesi mengenali kemudahan pembiayaan dan insurans eksport, penerangan solusi eksport Matrade seperti eTrade, Matrade Digital Trade Platform, MyExport serta Matrade Digital Learning.

Program turut mendapat kerjasama Exim Bank Berhad, Maybank Islamic Berhad, Fusionex Group dan Dagang Net Technologies Sdn Bhd.

Selangor menjadi negeri pertama penganjuran program Hari Eksport dan diikuti 11 negeri seluruh negara.

Matrade menyasar penyertaan minimum 200 peserta di setiap negeri terdiri syarikat bawah naungan Kerajaan Negeri dan agensi tempatan negeri.


Pengarang :