Suasana sekitar Program Jualan Ehsan Rahmah MPP MBSJ yang diadakan di Masjid Nurul Huda, Kampung Kenangan pada 23 Ogos 2023. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

195 asnaf, keluarga susah terima sumbangan set barangan makanan asas

OLEH NAJAMUDDIN MOHD NOR

PUCHONG, 23 OGOS: Seramai 195 keluarga asnaf dan berpendapatan rendah (B40) dalam kariah Masjid Nurul Huda, Kampung Kenangan di sini menerima sumbangan barangan makanan asas di Jualan Ehsan Rahmah (JER), hari ini.

Ahli Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) zon 8, Kamarul Hafiz Kamaruddin berkata Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) berkerjasama dengan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan jawatankuasa masjid Nurul Huda mengagihkan set makanan asas bernilai RM96.50 kepada asnaf.

“Kita tak berikan dalam bentuk wang tunai, sebaliknya, kali ini peruntukan fidyah yang disalurkan Jais kepada seluruh masjid untuk golongan asnaf ditukar oleh pihak Masjid Nurul Huda ini dalam bentuk pemberian barangan asas makanan.

Norliza Ramli, 45 pada Program Jualan Ehsan Rahmah MPP MBSJ yang diadakan di Masjid Nurul Huda, Kampung Kenangan pada 23 Ogos 2023. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

“Setiap set itu mengandungi dua ekor ayam, tiga paket jenis ikan, daging, telur, minyak masak, beras, sardin dan bihun. Saya berharap sumbangan JER ini dapat mengurangkan bebanan kos dapur mereka ketika harga barang yang tidak menentu ketika ini,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu bagi ibu tunggal, Suriati Mukri, 66, menzahirkan rasa bersyukur kerana sumbangan ini setidak-tidaknya dapat menampung pembelanjaan dia sekeluarga selama dua minggu.

“Saya bersyukur dan berterima kasih sangat menerima sumbangan ini, ada ayam, daging, ikan, telur…. Ini cukuplah untuk makan saya sekeluarga selama dua minggu,” katanya.

Bagi suri rumah, Norliza Ramli, 45, pula berkata sumbangan ini membuktikan keluarga asnaf dan B40 terus mendapat ‘kasih sayang’ daripada Kerajaan Negeri Selangor dan Masjid Nurul Huda.

“Sebagai ahli kariah masjid ini, saya terharu dan amat berterima kasih kepada pihak masjid, JAIS dan kerajaan negeri yang tidak lupa kepada kami yang kurang kemampuan ini. Ini sangat membantu kami,” katanya.


Pengarang :