ADN Seri Kembangan Wong Siew Ki mengedarkan bendera Jalur Gemilang kepada orang ramai dan peniaga pasar pagi pada 19 Ogos 2023. Foto Facebook Wong Siew Ki
ADNSELANGOR

Wakil rakyat Seri Kembangan edar 500 Jalur Gemilang, semarak Bulan Kemerdekaan

SHAH ALAM, 23 OGOS: Sebanyak 500 bendera Jalur Gemilang diedar kepada penduduk sekitar Taman Sungai Besi Indah, Seri Kembangan bagi menyemarak bulan kemerdekaan.

Wakil rakyatnya Wong Siew Ki berkata agihan bendera secara percuma pada Sabtu lalu turut dibuat kepada penjaja dan peniaga pasar pagi berhampiran.

“Kita menggerakkan usaha kecil ini bagi memupuk semangat patriotik dalam kalangan penduduk selain memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan tidak lama lagi.

“Inisiatif ini juga bagi memberi kesedaran kepada orang ramai supaya menghargai nikmat kemerdekaan yang dikecapi selama ini,” katanya ketika dihubungi.

Beliau turut menyeru penduduk Seri Kembangan untuk bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda kecintaan terhadap tanah air.

“Kibarkanlah Jalur Gemilang sama ada di kediaman, kenderaan atau premis perniagaan masing-masing dan tunjukkan semangat perpaduan kita bersama untuk Malaysia,” katanya.


Pengarang :