Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilihat mengawal bangunan Menara Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Putrajaya ketika tinjauan pada 12 Ogos 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

SPR umum tarikh pilihan raya kecil DUN Pelangai hari ini

KUALA LUMPUR, 24 OGOS: Mesyuarat khas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menentukan tarikh penting pelaksanaan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, Pahang menjadi tumpuan hari ini.

Mesyuarat khas PRK yang dipengerusikan Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh itu adalah berikutan kekosongan luar jangka kerusi DUN berkenaan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Johari Harun pada 17 Ogos lalu.

SPR akan mengadakan sidang media sejurus selepas mesyuarat khas itu yang akan menentukan tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih akan digunakan dan lain-lain persiapan bagi melaksanakan pilihan raya, di Menara SPR, Putrajaya.

Isnin lalu, SPR memaklumkan telah menerima pemakluman rasmi daripada Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pahang Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berhubung kekosongan luar jangka kerusi DUN Pelangai.

Allahyarham Johari, 53, merupakan antara 10 mangsa nahas pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina, Shah Alam, Khamis lalu.

Pesawat malang itu sedang dalam perjalanan dari Langkawi ke Subang dan telah mendapat pelepasan untuk mendarat pada 2.50 petang.

Johari, tokoh korporat bertanding mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), menang kerusi DUN Pelangai dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Kasim Samat yang mendapat 3,260 undi, Ahmed Wafiuddin Shamsuri daripada Pakatan Harapan (PH) (2,031 undi) dan Isa Ahmad daripada Pejuang (65 undi).

– BERNAMA


Pengarang :