Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat Kraftangan Malaysia, Isnaniyah Ismail menunjukkan proses mewarnakan cantingan bermotif bunga raya timbul sempena sambutan bulan kebangsaan. Foto Bernama
PENDAPATRENCANA

Batik Malaysia warnai sambutan Hari Kebangsaan 2023

Oleh Norhidayyu Zainal

KUALA LUMPUR, 24 OGOS: Sebanyak 400 helai pakaian batik Malaysia bertemakan semangat kemerdekaan bakal mewarnai sambutan Hari Kebangsaan 2023 di Dataran Putrajaya 31 Ogos ini.

Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) Isnaniyah Ismail berkata baju kemeja lelaki dan wanita itu bakal dipakai barisan Jemaah Menteri, tetamu kehormat serta urus setia sambutan Hari Kebangsaan 2023.

“Kami menyediakan batik Malaysia alternatif daripada bahan tanah liat dengan menggunakan teknik sutera saring bermotifkan bunga raya dan belang Harimau Malaya bagi kemeja yang dipakai barisan Jemaah Menteri dan tetamu kehormat.

Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat Kraftangan Malaysia, Isnaniyah Ismail ketika ditemui di Kompleks Kraf. Foto Bernama

“Bagi urus setia pula, mereka akan memakai pakaian batik Malaysia menggunakan teknik sutera saring bermotifkan gabungan bunga cengkih, bunga tanjung dan awan cina,” katanya.

Isnaniyah berkata penyediaan batik khas itu dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Digital sempena sambutan Hari Kebangsaan, sebagai langkah memperkenalkan kepada khalayak ramai mengenai batik Malaysia yang merupakan warisan dan lambang identiti Malaysia.

Beliau berkata semua kemeja berkenaan dihasilkan pereka dalaman Kraftangan Malaysia melibatkan empat usahawan kraf batik dari Selangor serta Perak dan berjaya disiapkan dalam tempoh sebulan.

Pembantu Pegawai Latihan Jurutunjuk Ahmad Fadzlul Azim tekun menyempurnakan ukiran bermotif bunga raya timbul sempena sambutan bulan kebangsaan. Foto Bernama

Isnaniyah berkata pihaknya juga meneruskan kempen ‘Ini Batik Malaysia’ melalui aktiviti jerayawara melibatkan warga kementerian, jabatan, agensi dan institusi pengajian tinggi.

Katanya ia bertujuan menarik minat orang ramai khususnya penjawat awam menggunakan batik Malaysia bukan sahaja pada setiap Khamis, tetapi turut digalakkan pemakaiannya pada hari bekerja lain serta ketika acara rasmi selari dengan surat edaran Jabatan Perkhidmatan Awam pada 21 Ogos 2023.

“Adalah menjadi harapan kami, agar semua masyarakat dapat membudayakan batik Malaysia dengan menonjolkan semangat patriotik terhadap khazanah negara itu,” katanya.

Bagi menzahirkan semangat patriotisme, Isnaniyah berkata Kraftangan Malaysia tidak ketinggalan mengibar Jalur Gemilang di semua premisnya sepanjang Bulan Kebangsaan ini.

Pembantu Pegawai Latihan Jurutunjuk Ahmad Fadzlul Azim menyempurnakan ukiran bermotif bunga raya timbul sempena sambutan bulan kebangsaan. Foto Bernama

“Kami juga akan mengadakan beberapa program sempena Hari Kebangsaan antaranya Festival Kraf Perak di Dataran Menara Condong, Teluk Intan, Perak pada 25 Ogos hingga 3 September serta Festival Kraf Borneo di pusat beli-belah 1 Borneo Kota Kinabalu, Sabah (24 Ogos hingga 10 September).

“Selain itu Promosi Merdeka di Kompleks Kraf Johor dan Angsana Johor Bahru, Johor (25 Ogos hingga 3 September) serta Promosi Merdeka di Aeon Mall Melaka (29 Ogos hingga 9 September).

“Kepada pelawat yang berkunjung ke Kompleks Kraf Kuala Lumpur, mereka juga boleh mendapatkan diskaun jualan produk kraf sehingga 50 peratus sepanjang Bulan Kebangsaan ini,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :