Pembinaan Rumah Selangorku menjadi keutamaan Kerajaan Negeri bagi memastikan rakyat negeri ini berpeluang memiliki kediaman sendiri. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sasar bina 200,000 rumah mampu milik sehingga 2028, bantu B40 beli kediaman

SHAH ALAM, 24 OGOS: Sebanyak 200,000 rumah mampu milik untuk golongan berpendapatan rendah (B40) akan dibina sepanjang lima tahun ini.

EXCO Perumahan Borhan Aman Shah berkata projek perumahan juga akan tertumpu sekitar kawasan pinggiran bandar demi memastikan pembangunan negeri seimbang.

“Antara matlamat kita dalam penggal ini untuk membantu lebih ramai rakyat Selangor memiliki rumah sendiri dengan harga mampu milik dan berkualiti.

“Jadi dalam penggal ini kita mahu bina 200,000 unit rumah termasuk projek yang dirancang dan pembinaan baharu,” katanya kepada Selangorkini.

Borhan berkata matlamat berkenaan juga seiring dengan saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu negeri ini membina lebih banyak kediaman buat golongan B40.

“Mekanisme pembinaan dan gerak kerja akan dibincang lebih lanjut bersama Lembaga Perumahan Hartanah Selangor dalam masa terdekat,” katanya.

Awal bulan ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri membina 171,000 rumah sepanjang lima tahun pentadbiran Pakatan Harapan sejak 2018.

Beliau memaklumkan kementerian pembangunan kerajaan tempatan turut mengakui Selangor merupakan negeri tertinggi membina rumah kos rendah.


Pengarang :