Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) melakukan gimik pelancaran Skim Insurans Am Selangor (INSAN) sempena Jelajah Selangor Penyayang di Stadium Sultan Suleiman, Klang pada 23 Oktober 2022. Foto REMY ARIIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Tindakan Kerajaan Negeri sah, guna data demi kepentingan umum

SHAH ALAM, 24 OGOS: Tindakan Kerajaan Negeri menggunakan data awam yang dibeli dan didaftar untuk prapendaftaran dalam Skim Insurans Am Selangor (INSAN) bukan suatu kesalahan dan sah.

Pakar Undang-undang Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod yang juga Ahli Majlis Profesor Negara menjelaskan ia juga tidak menyalahi Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.

“Tiada isu kerana ia adalah inisiatif Kerajaan Negeri untuk kepentingan umum. Bukan inisiatif pihak swasta, maka data digunakan untuk faedah umum,” katanya seperti dilapor BH Online hari ini.

Katanya, data peribadi tidak boleh digunakan untuk tujuan komersil mengikut akta sedia ada tetapi boleh diguna pakai untuk kepentingan awam oleh kerajaan dan bukan syarikat swasta.

Semalam, Dato’ Menteri Besar berkata nama yang tertera dalam sistem INSAN hanya prapendaftaran berdasarkan data awam bagi mengelak pendaftaran mengambil masa panjang.

Sedia mengetatkan kawalan jika ada pelanggaran, Dato’ Seri Amirudin Shari juga menjelaskan orang ramai juga boleh membuat pilihan untuk menerima skim berkenaan atau sebaliknya.

Diperkenal tahun lalu, INSAN ditawarkan kepada penduduk berusia antara 30 hari hingga 80 tahun dengan premium ditanggung sepenuhnya Kerajaan Selangor.

Skim yang menyasar enam juta rakyat memberi perlindungan sehingga RM10,000 bagi kes hilang keupayaan kekal dan kematian disebabkan kemalangan.

Awal bulan ini, INSAN ditambah baik dengan menawarkan Skim INSAN Takaful yang memberi perlindungan sehingga RM10,000 manakala waris sebanyak RM1,000 jika berlaku kematian.


Pengarang :