Penduduk sekitar Semenyih mendapatkan barangan asas pada harga murah ketika Jualan Ehsan Rahmah di Medan Selera Semenyih pada 24 Ogos 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI
SELANGOR

Jualan murah dapat sambutan, penduduk cadang tambah kuantiti barang

OLEH FHATIHAH ZAKINAN

HULU LANGAT, 24 OGOS: Program Jualan Ehsan Rahmah (JER) kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menerima sambutan baik daripada penduduk setiap kali dianjurkan.

Pegawai Khas Ahli Parlimen Hulu Langat Mohd Tazley Nik Norden berkata pihaknya banyak menerima cadangan daripada wakil penduduk yang mahukan program jualan murah itu diadakan lebih kerap selain menambah kuantiti barang.

“Slot untuk program ini terhad, jadi saya nak mohon kepada pihak penganjur untuk banyakkan kuantiti barangan kerana ini permintaan penduduk.

Ketua Kg Sentosa Semenyih, Mohd Safuan Hasri ketika ditemui pada Jualan Ehsan Rahmah di Medan Selera Semenyih 24 Ogos 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI

“Wakil rakyat Parlimen (Sany Hamzan) akan sediakan tempat logistik, dengan kerjasama ketua kampung MPKK (Majlis Pengurusan Komuniti Kampung) atau persatuan penduduk yang kita sasarkan di kawasan majoriti daripada golongan B40,” katanya.

Beliau ditemui pada program jualan murah peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih di Medan Selera Pekan Semenyih, di sini, hari ini.

Ketua Kampung Sentosa Semenyih, Mohd Safuan Hasri, 46, berkata program JER memberi manfaat kepada hampir 200 keluarga di kampung itu setakat ini.

“Orang kampung sentiasa bertanya dan ternanti-nanti program jualan murah barangan seperti ini kerana membantu meringankan beban mereka. Jualan kali ini pula ada tambahan barangan kering menjadikan keseluruhan berjumlah 13 barang.

“Orang ramai juga selesa menunggu di bawah khemah disediakan pihak PKPS, dengan lokasi program bersebelahan dengan medan selera,” katanya.

JER menawarkan ayam standard serendah RM10 seekor, daging pejal segar (RM10/pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10) selain barangan asas tambahan seperti bihun kering, tepung gandum, sardin, kaya, dan empat jenis ikan.

Pada 31 Mei, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan program berkenaan memberi penjimatan kira-kira RM18 juta kepada orang ramai.

Beliau menambah JER kendalian PKPS, anak syarikat Kerajaan Negeri turut mencatat nilai jualan sekitar RM37 juta sejak pelaksanaannya hujung tahun lalu.


Pengarang :