Datuk Bandar Shah Alam Dr Nor Fuad Abdul Hamid (tengah) bergambar bersama Ketua Pegawai Eksekutif Urban Explorer Sdn Bhd Ahmad Fuad Hamzah selepas memeterai memorandum persefahaman pembangunan projek rintis aplikasi ‘Pavement-AI’ di Pusat Konvensyen Shah Alam, Seksyen 13 pada 24 Ogos 2023. Foto Majlis Bandaraya Shah Alam
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MBSA jadi PBT pertama bangunkan aplikasi permudah kerja selenggara jalan

SHAH ALAM, 25 OGOS: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama dalam negara yang membangunkan aplikasi pemeriksaan, pembaikan dan penyelenggaraan jalan.

Datuk bandarnya berkata pembangunan projek rintis aplikasi ‘Pavement-AI’ dengan kerjasama Urban Explorer Sdn Bhd memudahkan kerja pemantauan jalan berlubang di kawasan bandar raya berkenaan.

Datuk Bandar Shah Alam Dr Nor Fuad Abdul Hamid berucap pada majlis pemeteraian memorandum persefahaman bersama Urban Explorer Sdn Bhd bagi pembangunan projek rintis aplikasi ‘Pavement-AI’ di Pusat Konvensyen Shah Alam, Seksyen 13 pada 24 Ogos 2023. Foto Majlis Bandaraya Shah Alam

“Kita menyasarkan untuk memberikan perkhidmatan yang lebih efisien dan menjawab maklum balas serta aduan pelanggan berkaitan jalan berlubang di kawasan MBSA.

“Penggunaan aplikasi ini juga bagi memastikan proses penyelesaian aduan jalan berlubang yang lebih pantas dan cekap,” kata Dr Nor Fuad Abdul Hamid dalam kenyataan semalam.

Terdahulu, majlis menandatangani memorandum persefahaman itu disempurnakan Dr Nor Fuad bersama Ketua Pegawai Eksekutif Urban Explorer Sdn Bhd Ahmad Fuad Hamzah di Pusat Konvensyen Shah Alam, Seksyen 13 di sini.

Menurutnya, aplikasi berkenaan antara lain berfungsi menghubungkan aduan awam yang diterima melalui platform lain seperti Sistem Pengurusan Aduan Awam (SisPAA).

Beliau berkata aplikasi itu juga memberikan lokasi aduan jalan berlubang secara tepat supaya tindakan diambil segera.

“MBSA dan Urban Explorer Sdn Bhd akan memberikan komitmen berterusan bagi memastikan tindakan pemantauan jalan berlubang yang efektif melalui penubuhan data rangkaian jalan raya yang komprehensif.

“Ini adalah selari dengan usaha pihak MBSA untuk menjadikan bandar raya Shah Alam sebagai bandar raya pintar,” katanya.


Pengarang :