Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tiga, kanan) menyampaikan cek cura kepada waris pencarum ketika melancarkan Insan Takaful sempena majlis perasmian Tekad Insani #KitaSelangor di Pusat Konvensyen Bangi, Kajang pada 4 Ogos 2023. Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Norita Mohd Sidek (tiga, kiri). Foto AHMADZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALRENCANA

Insurans am Selangor mudahkan penduduk, banyak manfaat

SHAH ALAM, 24 OGOS 2023 (KHAMIS) – Program Insurans Am Selangor (INSAN) adalah inisiatif Kerajaan Negeri Selangor yang bermula sejak 1 Oktober 2022 dengan tujuan untuk memberi perlindungan insurans am kepada 6 juta rakyat Selangor, di mana Menteri Besar Selangor Pemerbadanan (MBI Selangor) dilantik sebagai agensi pelaksana dan Wavpay Fintech Holding Sdn Bhd sebagai pengendali perkhidmatan.

Program INSAN adalah salah satu daripada inisiatif dan komitmen daripada Kerajaan Negeri Selangor untuk mengurangkan beban kewangan rakyat Selangor dalam masa-masa sukar apabila berlakunya kemalangan atau kematian selaras dengan laporan peningkatan jumlah kemalangan jalan raya di Malaysia daripada 370,286 tahun 2021 kepada 545,588 tahun 2022.

Baru-baru ini, terdapat dakwaan bahawa terdapat elemen pembocoran data rakyat dan penduduk Selangor. Dakwaan ini tidak tepat.

Namun, disebabkan aduan kekangan untuk mendaftar terutamanya daripada warga emas, Kerajaan Negeri Selangor mengambil inisiatif untuk melaksanakan proses pra-pendaftaran secara automatik dengan menyepadankan maklumat daripada daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya dengan nombor kad pengenalan rakyat dan penduduk negeri Selangor.

Meskipun pra-pendaftaran automatik ini menyediakan polisi kepada rakyat dan penduduk di negeri Selangor, setiap penerima polisi perlu menyempurnakan proses pengesahan diri dan bersetuju menerima tawaran perlindungan ini. Jika pengesahan tidak dibuat, tuntutan perlindungan sosial RM10,000 untuk kes kematian ataupun kes hilang upaya akibat kemalangan tidak akan diberikan. Tidak berlaku pembocoran data kerana data program INSAN dilindungi oleh Kerajaan Negeri Selangor.

Rakyat Selangor yang berumur daripada 30 hari sehingga 80 tahun adalah layak dilindungi di bawah INSAN. Terdapat 2 jenis skim INSAN iaitu konvensional yang disediakan oleh AmGeneral Insurance Berhad dan bagi takaful pula disediakan oleh Takaful Ikhlas General Berhad. Inisiatif ini bersinambungan dengan dasar dan aspirasi Kerajaan Negeri menjadikan negeri Selangor sebagai negeri yang prihatin dan penyayang ke atas kebajikan rakyat.

Skim INSAN Konvensional menawarkan perlindungan insurans RM10,000 untuk kes kematian dan kes hilang upaya kekal akibat kemalangan dan tambahan RM1,000 untuk
perbelanjaan pengebumian untuk kes kematian.

Manakala Skim INSAN Takaful menawar perlindungan takaful di antara RM10,000 sehingga RM20,000 bagi kes kematian atau kes hilang upaya kekal akibat kemalangan, dan tambahan RM1,000 untuk perbelanjaan pengebumian untuk kes kematian serta tambahan faedah RM50/hari sehingga 30 hari untuk kemasukan wad.

Sehingga Julai 2023, sejumlah 44 kes tuntutan telah diselesaikan merangkumi jumlah pemberian pampasan sebanyak RM537 ribu yang meliputi kes kematian dan kecacatan kekal.

Disebabkan dakwaan tidak tepat yang disebarluaskan, beberapa pihak tidak bertanggungjawab telah menyalahgunakan laman web ini untuk tujuan yang berniat jahat. Oleh yang demikian, laman web ini sedang diperkukuhkan dengan ciri keselamatan tambahan dan akan aktif dalam masa terdekat.

Maklumat lanjut berhubung program INSAN boleh dirujuk kepada lampiran Soalan Lazim yang disertakan dan laman web INSAN di www.programinsan.com.

LAGI MAKLUMAT BERKAITAN

Masih keliru? Cara daftar, dapat manfaat insurans percuma negeri

MBI jawab tohmahan, skim insurans percuma manfaat 6 juta rakyat


Pengarang :