Penerima bantuan blueprint dan bantuan i-SEED melihat peralatan yang diterima selepas majilis Penyerahan Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan dan Peralatan Usahawan India Selangor (i-SEED) daerah Klang di Pejabat Daerah dan Tanah Klang, Klang pada 14 Jun 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Tekad bantu miskin bandar, EXCO hasrat tawar kursus, perluas bantuan alat niaga

SHAH ALAM, 25 OGOS: Usaha membasmi kemiskinan di Selangor pada penggal ini menumpukan warga bandar yang hilang sumber pendapatan susulan pandemik.

EXCO pembasmian kemiskinan bercadang menawarkan kursus bersesuaian kepada golongan miskin bandar bagi memastikan mereka dapat berdikari sekali gus menjana pendapatan.

V Papparaidu berkata pihaknya juga berhasrat meneruskan program Blueprint Pembasmian Kemiskinan kepada usahawan kecil di bandar bagi memastikan perniagaan mereka terus bertahan.

EXCO Pembasmian Kemiskinan V Papparaidu. Foto Facebook HARAPAN DUN Banting

“Situasi ini jelas dilihat ketika saya membantu penduduk di bandar yang terkesan ketika pandemik. Ramai miskin bandar sukar untuk mendapat sesuap nasi kerana ketua keluarga hilang kerja.

“Pengalaman itu menyedarkan saya bahawa ramai penduduk di kawasan bandar miskin tegar sehingga mereka mengalami kesukaran yang sangat teruk dan perlu dibantu,” katanya ketika dihubungi.

Dalam belanjawan Selangor 2023, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan program Blueprint Pembasmian Kemiskinan diteruskan dengan peruntukan RM2 juta.

Bantuan berbentuk peralatan atau mesin itu diwujudkan khusus untuk membantu penjaja, peniaga atau yang bekerja sendiri di negeri ini.

Sejak dilancarkan pada 2013, program berkenaan memberi manfaat kepada 4,321 usahawan kecil dengan peruntukan RM21.6 juta setakat Julai lalu.


Pengarang :