Masyarakat Orang Asli yang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) dipelawa memohon Biasiswa Sagong Tasi (gambar hiasan). Foto Arkib Selangorkini
AGENSISELANGOR

Orang Asli lanjut pengajian di IPT dipelawa mohon Biasiswa Sagong Tasi

Oleh DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 25 OGOS: Masyarakat Orang Asli melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) dipelawa memohon Biasiswa Sagong Tasi yang dibuka sejak 8 Ogos hingga 7 September ini.

Pinjaman Pelajaran Negeri Selangor memaklumkan selain yuran pengajian ditanggung sepenuhnya, mereka yang layak turut menerima elaun sara diri sebanyak RM600 sebulan.

Bantuan khas pendidikan itu terbuka untuk golongan berkenaan yang mengikuti pengajian di Universiti Teknologi Mara (Shah Alam, Puncak Alam, Puncak Perdana serta Sungai Buloh) dan Universiti Islam Antarabangsa (Gombak).

Biasiswa sama juga boleh dimohon bagi Orang Asli yang melanjutkan pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia (Bangi), Universiti Putra Malaysia (Serdang), Universiti Selangor (UNISEL), Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) selain Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC).

Permohonan dan syarat kelayakan boleh disemak menerusi danapendidikan.selangor.gov.my atau hubungi hubungi urusetia di talian 03-55447484 bagi sebarang pertanyaan.

Sebelum ini Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menegaskan Kerajaan Selangor memastikan hak dan kebajikan masyarakat Orang Asli dipelihara dengan mengambil beberapa inisiatif untuk membela hak mereka lebih sedekad lalu.

Pada 2009, pentadbiran negeri menyelesaikan kes penempatan supaya ia tidak dicemari pembangunan dan selamat diduduki.

Manakala antara 2015 hingga 2018, kualiti rakyat dibela bagi mengatasi kemiskinan keluarga dan menyediakan biasiswa Sagong Tasi untuk pendidikan golongan itu.


Pengarang :