BUDAYARENCANA

Superhero yang terlupa mematikan suis seterika 

Oleh Nasser Mikraj
Isteri kau tidak tahu bahawa ada waktunya kau akan menyorok dalam beg tangan miliknya. Kau akan menjadi apa-apa saja benda yang tidak diperlukan oleh isteri kau ketika dia menggagau sesuatu dalam begnya. Selalunya kau akan menyamar sebagai duit syiling 20 sen kerana fungsinya tidak sama penting berbanding gincu, telefon bimbit dan power bank. Jika tidak tahan kepanasan dan hampir lemas dalam beg, kau akan memanjat keluar dan menyelit dalam fail yang dikepilnya kerana penyamaran di sini lebih mudah dengan hanya menjadi sekeping gambar pasport atau helaian resit pudar.
Seawal 8 pagi, isteri kau sudah tercegat di hadapan pejabat mahkamah syariah yang cuma akan beroperasi sepenuhnya pada pukul 9 pagi. Dalam jeda waktu sebelum mendaftarkan kes yang dikendalinya kepada pendaftar, isteri kau sempat menitipkan pesan semoga baik-baik dan sayang selalu kepada suaminya lewat peti whatsapp tanpa sedikitpun mengetahui kau telah membalas titipan itu dengan menjadi lakaran hati pada muka depan fail yang dibawanya. Hari ini cuma ada dua sebutan kes di hadapan penolong pendaftar mahkamah berkaitan harta pusaka sebelum melangsaikan temu janji dengan beberapa orang client.
Pada hal beginilah kau akan cuba menjadi apa-apa yang diperlukan oleh isteri kau. Kau boleh menjadi kertas wakalah, pen, cop rasmi firma, kot hitam termasuklah kad perniagaan ketika isteri kau terlupa membawanya tanpa sedikitpun menyedari itu adalah suaminya. Kau juga akan menjadi pewangi berperisa vanilla seperti kesukaannya, menjadi gincu, krim pelembab, cermin kecil, handsock, atau sekali lagi menjadi kepingan syiling 20 sen ketika isteri kau memerlukannya.
Kau melompat dan menyusup ke ruang yang sedikit terlindung dalam pejabat ketika isteri kau mula menyusun dokumen-dokumen dalam fail setelah meyakini tiada yang terlupa dibawanya sebelum mendaftarkan kes kepada pegawai pendaftar. Ketika gilirannya dipanggil, kau membiarkan isteri kau dengan urusannya.
Di sudut itu, bau bangkai dan najis cicak bercampur-baur. Tidak tahan diserang bau kau melompat sedikit jauh ke ruangan penyimpanan fail. Menyelit di antara lambakan fail yang tidak teratur susunannya. Namun tindakan itu hampir membuatkan penyamaran kau terbongkar apabila staf mahkamah yang silih-berganti mengambil fail mula cuak mengapa fail-fail di rak tersebut bergoyang-goyang. Mujur kau sempat membunyikan cak cak cak sambil menyusup cepat ke rak yang lain sebelum kata ish cicak daripada staf tersebut sedikit melegakan kau.
Di celah lambakan fail, ada rasa ingin tahu yang semena-mena memanjat hati kau. Kau menyusup, benar-benar seperti seekor cicak yang baru tertanggal ekor keluar dari celahan fail untuk mendapatkan sudut pandang lebih luas dalam ruangan itu. Fail mengikut mahkamah dan kes berasak-asak di segenap ruang rak seperti asakan manusia (dibaca; perempuan) sewaktu promosi Victoria Secret diadakan misalnya. Kau tertarik pada bahagian fail yang mengumpulkan semua kes berkaitan penceraian. Ah, deretan failnya begitu gelojoh memakan semua ruang, malah ada yang hampir terburai keluar. Siap siaga untuk berpencaran ke lantai. Kau dengan segala rasa ingin tahu melompat ke bahagian itu. Mula menggeledah isinya satu-persatu, fail demi fail, tidak ubah seperti gelagat pembantu hakim meneliti kes.
Ada rasa geram yang mula menyepak hati kau. Deras dan menyakitkan. Alasan demi alasan untuk perpisahan tetap akan menoreh luka. Kau mula membayangkan luka demikian merebak ke wajah-wajah kecil seperti bakteria yang perlahan membarahkan kanser trauma berpanjangan sehingga dewasa. Kau tidak menyalahkan semuanya. Ya, tidak semua salah. Kau cuma beranggapan sebuah pintu yang menjadi jalan masuk tidak seharusnya menjadi pintu keluar. Kau memilih perspektif begini dengan menjadikan diri kau yang seboleh mungkin cuba melengkapi isteri kau dalam segenap hal sebagai contoh. Kau mengandaikan kalau semua pasangan seperti kau, fail-fail di sini tentu tidak akan sebegini banyak jumlahnya.
Ah, kalau semua superhero ingin diwujudkan untuk menyelamatkan dunia, kau berfikir mereka perlu terlebih dahulu menyelamatkan sebuah perkahwinan. Kesan domino daripada perkahwinan yang berantakan lebih realistik berbanding sosok raksasa atau makhluk asing yang cuma berminat mengganas di kota New York atau London. Memikirkan itu, kau melantik diri kau sebagai superhero yang dimaksudkan. Kau ingin bermula dengan menghilangkan semua fail yang ada di ruangan tersebut. Formula kau mudah dan polos. Tiada fail bermakna tiada kes akan berjalan. Maka segala bentuk perpisahan sekurang-kurangnya dapat ditangguhkan.
 Kau segera menyusup ke rak yang menempatkan fail-fail penceraian dengan hasrat untuk menghapuskannya. Kau menolak jatuh terus fail-fail yang hampir terburai. Kau baru sahaja berhajat untuk mencarikkan segala dokumen dalam fail-fail itu sebelum suara isteri kau merapat ke ruangan itu bersama seorang staf mahkamah. Kau menyusup sedikit ke dalam namun masih boleh melihat dengan jelas susuk isteri kau.
“Harap fail itu ada puan. Kasihan anak guam. Lama betul sudah terseksa zahir batin. Hampir gila didera, tidak dibayar nafkah, anak-anak dan segala perbelanjaan dia yang tanggung semuanya. Lama betul sudah kes ini tertangguh.”
Kata-kata yang melompat dari mulut isteri kau seperti ingin menjelmakan seribu orang staf mahkamah untuk sama-sama menggeledah bilik itu dan mendapatkan fail yang diperlukannya. Kau terdiam. Hasrat so-called superhero yang kau wujudkan sebentar tadi ikut terpinga-pinga sebelum kau segera mengusirnya keluar dari fikiran.
Kau melihat diri kau sebelum berpindah ke muka isteri kau. Pengharapan untuk sebuah kebebasan daripada penderitaan dan trauma anak guam berlonggok di matanya. Tanpa berfikir panjang, kau menyusup laju dari celahan fail lalu menjatuhkan diri sebagai fail bersama dokumentasinya yang lengkap seperti yang dicari oleh isteri kau. Melihat ada fail yang jatuh, isteri kau bergegas mengambilnya. Mata bundar isteri kau menyala ketika mendapati itu adalah fail yang dicarinya sekian lama. Jeritan gembira isteri kau bergema di ruangan itu. Fail didakap erat seperti tidak ingin dilepaskan ketika kau baru teringat yang kau lupa mematikan suis seterika di rumah.

Pengarang :