Kakitangan awam mengibarkan Jalur Gemilang ketika program Semarak Jalur Gemilang Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di perkarangan Ibu Pejabat MBPJ, Petaling Jaya pada 19 Ogos 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Orang ramai digalak pakai batik, meriahkan sambutan Hari Kebangsaan

PUTRAJAYA, 29 OGOS: Orang ramai digalakkan memakai pakaian batik ketika sambutan Hari Kebangsaan 2023 pada Khamis ini di Dataran Putrajaya di sini.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata galakan berkenaan bukan sahaja bagi memeriahkan acara sambutan bertemakan Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan itu, malah ia juga dapat menunjukkan sokongan padu kepada industri batik tempatan.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berucap pada Forum Pameran Memperkasa Belia 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur pada 19 Mac 2023. Foto BERNAMA

“Kita ingin ketengahkan dan utamakan baju dan fesyen batik kerana ini semestinya menjadi kebanggaan untuk rakyat Malaysia,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau raptai sambutan Hari Kebangsaan 2023 di sini hari ini.

Pada 23 Ogos, Bernama melaporkan sebanyak 400 helai pakaian batik Malaysia bertemakan semangat kemerdekaan bakal mewarnai sambutan Hari Kebangsaan 2023 dan akan diperagakan oleh barisan Jemaah Menteri, tetamu kehormat serta urus setia.

Mengulas tahap persiapan sambutan berkenaan, Fahmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023 berkata ia berjalan lancar dan pihaknya sedang meneliti isu berkaitan jangka masa bagi memastikan tiada masalah timbul pada hari berkenaan.

“Saya setakat ini berpuas hati dengan tahap persediaan, kita lihat khemah utama telah siap dipasang dan ada beberapa kelengkapan lagi (akan diselesaikan), sekarang sedang teliti isu masa, sekiranya pasukan merasakan ada keperluan untuk kita buat pelarasan kita akan buat kerana kita ada ruang masa yang terhad sebab isu penerbangan,” katanya.

Mengenai isu liputan Internet, Fahmi berkata beberapa kenderaan ‘Cell On Wheels (COW)’ milik penyedia perkhidmatan telekomunikasi akan ditempatkan di kawasan sekitar Dataran Putrajaya bagi memasti kelancaran capaian.

“Saya telah mengarahkan supaya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) meneliti perkara itu dan menyesuaikan peralatan untuk memastikan tidak berlaku apa apa gangguan telekomunikasi pada hari tersebut,” katanya.

Fahmi juga menggalakkan semua pihak yang terlibat termasuk petugas media untuk menguji capaian liputan Internet dan isyarat telekomunikasi talian masing-masing pada hari raptai penuh Hari Kebangsaan 2023 pada 29 Ogos ini.

“Kita tidak mahu ada masalah hingga jejaskan tugasan petugas yang terlibat,” katanya.

– BERNAMA

 


Pengarang :