Muhammad Hasrul Idris dan isteri Norsaidah Amira Aminordin ketika berbelanja pada program Jualan Ehsan Rahmah sempena Hari Veterinar dan Hari Kebajikan Haiwan 2023 di Laman Ternakan MAEPS, Serdang pada 26 Ogos 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Suami isteri teruja pertama kali berbelanja di jualan murah PKPS

Oleh FHATIHAH ZAKINAN

SERDANG, 26 OGOS: Sepasang suami isteri begitu teruja pertama kali berbelanja di Jualan Ehsan Rahmah (JER) sempena Hari Veterinar dan Kebajikan Haiwan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) di sini hari ini.

Muhammad Hasrul Idris, 30, dan isteri, Norsaidah Amira Aminordin, 30, yang datang dari Bukit Puchong tidak menyangka harga barangan yang ditawarkan sangat berbaloi.

“Bukan sahaja memberi penjimatan pada isi rumah, tetapi jualan ini banyak membantu rakyat. Saya pasti akan cari lagi jualan sama seperti ini selepas ini,” katanya.

Salmah Mohd Nor

Manakala pembantu tadbir Salmah Mohd Nor, 39, yang lebih lima kali berbelanja di JER berkata dia sentiasa mengikuti lokasi jualan dan tidak serik berbelanja semata-mata untuk mendapatkan barangan asas murah di situ.

“Harga barang sini hanya RM10, memang jauh beza berbanding di luar, yang harga ayam sahaja mencecah lebih RM15 seekor.

“Kadang-kala saya akan ajak rakan, keluarga dalam WhatsApp ke jualan ini kerana banyak pilihan. Kebetulan JER di MAEPS, jadi parkir mudah dan lokasi senang dicari, anak-anak juga gembira,” katanya.

Mohd Farid Abd Rahman

Penjual barangan terpakai, Mohd Farid Abd Rahman, 42, dari Taman Equine berkata harga jualan barangan asas di jualan murah itu memberi penjimatan sehingga 40 peratus seperti ayam.

“Harga ayam di luar cecah RM20, tetapi di sini hanya RM10. Jimat 30 hingga 40 peratus. Ayam dapat pun besar sebab kadang-kala saya timbang di rumah boleh cecah dua kilogram.

Peniaga garam bukit, Maz Izzati Masri, 28, dari Subang memuji usaha Kerajaan Selangor kerana menyediakan jualan yang memberi penjimatan kepada rakyat terutama peniaga.

Maz Izzati Masri

“Jualan murah ini sentiasa ada di Kampung Melayu Subang. Terima kasih Selangorku kerana membantu rakyat Selangor dapatkan harga makanan dengan kos lebih rendah,” katanya.

JER kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Lokasi terkini JER seluruh negeri boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan http://linktr.ee/myPKPS


Pengarang :