Ketua Pegawai Operasi Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Saipolyazan M Yusop (tengah) pada Majlis Sumbangan Amal Anak Yatim Selangor di Rumah Anak Yatim Al-Munirah, Klang pada 26 Ogos 2023. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MBI agih modul tuisyen percuma negeri mulai September

KLANG, 26 OGOS: Modul Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) untuk pelajar yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan diedarkan bermula September depan.

Ketua Pegawai Operasi Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI berkata program diperkenal sejak pandemik Covid-19 dijangka memanfaatkan seramai 65,000 pelajar daripada 277 sekolah.

Menurut Saipolyazan M Yusop, sebanyak 272 merupakan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan selebihnya Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS).

“Mereka akan menerima enam mata pelajaran iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris, matematik, sains dan sejarah dan matematik tambahan. Semua modul ini akan mula diagih bermula September depan.

“Mereka bukan sahaja menerima modul pembelajaran tetapi diberikan makanan tengah hari untuk sepanjang mengikuti tuisyen,” katanya pada program sumbangan di Rumah Anak Yatim Al-Munirah di sini hari ini.

Pengarah Urusan The Sea Capital Dato Derrick Hooi (kiri), Ketua Pegawai Operasi Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan)  atau MBI Saipolyazan M Yusop (tengah) dan Pengarah Urusan Econframe Berhad Lim Chin Horng (kanan) pada Majlis Sumbangan Amal Anak Yatim Selangor di Rumah Anak Yatim Al-Munirah, Klang pada 26 Ogos 2023. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Minggu lalu, MBI mengumumkan memperuntuk lebih RM10 juta kepada pelajar dan sekolah bagi memperkasa sektor pendidikan negeri.

Peruntukan itu merangkumi pelaksanaan PTRS, bantuan Kembali Ke Sekolah selain sumbangan infrastruktur sekolah.


Pengarang :