Ketua Pegawai Operasi Menteri Besar Selangor Pemerbadanan (MBI), Ts. Saipolyazan M Yusop (tengah) bersama Pengarah Urusan The Sea Capital, Dato Derrick Hooi dan Pengarah Urusan Econframe Berhad Lim Chin Horng bergambar bersama penerima sumbangan pada Majlis Sumbangan Amal Anak Yatim Selangor yang diadakan di Rumah Anak Yatim Al-Munirah, Klang pada 26 Ogos 2023. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

MBI, dua syarikat jalin kerjasama agih RM1,000 kepada anak yatim

KLANG, 27 OGOS: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan ) atau MBI mengagihkan wang tunai RM100,000 hasil kutipan program ‘Ride of Hope’ kepada 100 anak-anak yatim.

Ketua Pegawai Operasinya Saipolyazan M Yusop berkata setiap anak-anak yatim itu menerima wang tunai RM1,000 menerusi kerjasama MBI, The Sea Capital dan Econframe Berhad yang diadakan pada Mei lalu.

Jelas Saipolyazan, MBI berterima kasih kepada dua syarikat terbabit yang tampil bekerjasama dalam mengumpul dana untuk membantu anak-anak yatim khsusunya dalam bidang pendidikan.

Pengarah Urusan The Sea Capital, Dato Derrick Hooi menyampaikan sumbangan kepada penerima diperhatikan
Ketua Pegawai Operasi Menteri Besar Selangor Pemerbadanan (MBI), Ts. Saipolyazan M Yusop (tengah) dan Pengarah Urusan Econframe Berhad Lim Chin Horng (kanan) pada Majlis Sumbangan Amal Anak Yatim Selangor yang diadakan di Rumah Anak Yatim Al-Munirah, Klang pada 26 Ogos 2023. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

“Kerjasama seperti ini yang kita mahukan di Malaysia tanpa mengira agama. MBI sendiri memperuntukkan RM30 hingga RM40 juta setahun bagi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk rakyat Selangor.

“Kini tampil pula dua syarikat lain yang ingin sertai CSR MBI dengan beri sumbangan dan memanfaatkan 100 anak-anak yatim. Kita amat alu-alukan mana-mana syarikat yang mahu bekerjasama dengan MBI untuk program CSR,” katanya ditemui selepas program sumbangan tersebut.

Sementara itu, Pengarah Urusan Econframe Berhad, Lim Chin Horng berkata pihaknya gembira dapat bekerjasama dengan MBI dalam memberi sumbangan kepada anak-anak yatim.

“Ini merupakan kerjasama kali pertama bersama MBI dan tujuannya mahu membantu anak-anak yatim dalam pendidikan agar masa depan lebih cerah.

“Biarpun baru bermula, diharap kerjasama ini menjadi pencetus kepada syarikat untuk terus berkolaborasi untuk membantu golongan memerlukan,” katanya.

Penerima, Wan mohammad haziq wan mohd azhan,21 pada Majlis Sumbangan Amal Anak Yatim Selangor yang diadakan di Rumah Anak Yatim Al-Munirah, Klang pada 26 Ogos 2023. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Dalam pada itu, Pengarah Urusan The Sea Capital, Dato’ Derrick Hooi berkata syarikatnya sentiasa melakukan program CSR untuk membantu meringankan beban masyarakat tanpa mengira usia.

“Kita sentiasa berikan bantuan kepada anak yatim, orang kurang upaya dan mana-mana pihak memerlukan. Tetapi kali ini pendekatan diambil agak berbeza iaitu bekerjasama dengan MBI dalam menyalurkan bantuan.

“Dengan kerjasama seperti ini akan membawa kepada program seterusnya dan memanfaatkan lebih ramai penerima,” katanya.

Sementara itu, penerima bantuan, Wan Mohammad Haziq Wan Mohd Azhan,21, berkata beliau akan menggunakan bantuan diterima itu untuk membeli buku teks bagi pengajian di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

“Saya bersyukur kerana menerima bantuan RM1,000 kerana perbelanjaan buku teks di universiti pada masa sekarang agak mahal.

“Dengan bantuan ini dapat membantu sekaligus meringankan beban ibu yang bekerja sebagai kerani dan perlu menyara tiga adik masih bersekolah,” katanya.


Pengarang :