Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Mesra Selangor Zahariman Ariffin menyerahkan Pek Peduli kepada penduduk Pandan pada Majlis Tautan Mesra Ramadhan pada 16 April 2023. Foto Facebook Yayasan Mesra Selangor
AGENSISELANGOR

Lebih 45,000 keluarga terima bakul makanan Yayasan Mesra Selangor

SHAH ALAM, 27 OGOS: Lebih 45,000 keluarga menerima manfaat bantuan Pek Peduli berisi makanan daripada Yayasan Mesra Selangor sejak diperkenal pada 2021.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Zahariman Ariffin berkata bantuan itu diagihkan kepada penerima kurang berkemampuan dan terjejas pendapatan.

“Biarpun diperkenal sejak pandemik Covid-19, bantuan ini masih diteruskan sehingga kini kerana melihat ada segelintir yang terjejas.

“Terdapat tiga kategori penerima pek peduli iaitu miskin tegar, ditimpa bencana dan keperluan mendesak seperti diberhentikan kerja dan kemalangan,” katanya dihubungi SelangorKini.

Sementara itu, Zahariman menjelaskan pihaknya sentiasa bekerjasama dengan ketua komuniti dalam mengagihkan bantuan kepada golongan tersebut.

“Ketua komuniti memainkan peranan kerana mereka lebih tahu apa yang berlaku kepada penduduk di kawasan tersebut.

“Mereka akan menyalurkan maklumat kepada kita mana-mana keluarga yang terkesan sebelum pek peduli diberikan,” katanya.

Sebelum ini, sempena Aidilfitri, Yayasan Mesra Selangor menyerahkan 50 Pek Peduli kepada kumpulan penggiat seni yang memerlukan di Hotel Seri Pasific, Kuala Lumpur pada 17 Mei lalu.

 


Pengarang :