15 pusat Dialisis Mesra Selangor akan beroperasi 2024 bagi menampung keperluan pesakit di negeri itu. Foto Facebook Amirudin Shari
AGENSISELANGOR

Yayasan Mesra Selangor sasar buka 10 pusat dialisis menjelang tahun depan

SHAH ALAM, 27 OGOS: Yayasan Mesra Selangor menyasarkan membuka 10 pusat dialisis menjelang tahun hadapan, kata ketua pegawai eksekutifnya.

Zahariman Ariffin berkata setakat ini empat pusat dialisis telah beroperasi sejak 2012 iaitu di Ampang, Sementa, Taman Medan dan Keramat AU5.

“Menjelang hujung tahun ini, kita akan buka empat lagi pusat dialisis di Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Langat dan Gombak. Yayasan melihat ada keperluan pusat dialisis dibuka selain kawasannya yang bersesuaian.

“Manakala, dua lagi di Klang dan Petaling masih dalam proses penelitian terutama melibatkan lokasi. Kita mohon pejabat daerah atau pihak berkuasa tempatan maklumkan jika ada bangunan ditinggalkan tetapi sesuai digunakan,” katanya dihubungi SelangorKini.

Mengulas lanjut, Zahariman memaklumkan sejak beroperasi lebih 200 individu mendapat manfaat rawatan dialisis percuma menggunakan dana daripada tabung yayasan.

“Pusat dialisis ini terbuka kepada mana-mana mereka yang ingin mendapatkan rawatan termasuk berbayar dan menggunakan insurans. Wang bayaran itu akan disalurkan terus ke tabung yayasan.

“Menerusi tabung yayasan itu, kita akan gunakan untuk beri rawatan kepada mereka yang kurang berkemampuan dan setakat ini lebih 200 sudah terima manfaat,” katanya.


Pengarang :