Orang ramai membeli barang keperluan asas pada Jualan Ehsan Rahmah (JER) Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di Medan Belia, Kajang pada 27 Ogos 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jualan murah PKPS bantu keluarga besar beli barangan dapur

HULU LANGAT, 27 OGOS: Jualan Ehsan Rahmah (JER) yang menawarkan harga 30 peratus lebih rendah berbanding pasaran luar memberi banyak manfaat kepada keluarga besar daripada golongan berpendapatan rendah.

Suri rumah, Zaiton Ibrahim, 64, dari Batu 11, Cheras berkata dia yang kerap membeli barangan di program itu berkata jualan banyak membantu menampung perbelajaan keluarganya yang ramai termasuk lapan cucu.

Zaiton Ibrahim

“Selalunya saya akan beli ayam, beras dan minyak, cukup jimat untuk kami sekeluarga. Saya tinggal dengan anak dan cucu, saya dan anak saya ibu tunggal,” katanya.

Beliau ditemui pada JER kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di Medan Sate Kajang, di sini, hari ini.

Faisol Baharuddin

Pekerja kilang, Faisol Baharuddin, 51, dari Taman Cuepacs pula berkata dia yang hadir bersama enam ahli keluarga berpeluang membeli barangan seperti ayam dan telur yang menjadi keperluan harian.

“Jualan murah ini banyak memberi manfaat kepada keluarga besar seperti kami anak-beranak, ayam cukup murah berbanding di luar yang mencecah RM18,” katanya yang sudah kali keenam ke JER.

Tan Chan Nyok

Bagi Tan Chan Nyok, 66, dari Bukit Mewah yang pertama kali ke jualan itu teruja untuk berbelanja selepas dimaklumkan rakan.

“Sayur dan telur di luar sekarang mahal, tak cukup untuk keluarga besar kami ada 10 orang. Di sini, telur hanya RM10 dan murah,” katanya.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Lokasi terkini JER seluruh negeri boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan http://linktr.ee/myPKPS


Pengarang :