Seramai 35 penduduk diberi penerangan dan tunjuk ajar mengenai teknik pengkomposan sisa makanan yang menggunakan kaedah Bokashi oleh wakil pihak Bio Terra Solution Sdn Bhd sebagai perunding program. Foto Facebook MBSA
PBTSELANGOR

MBSA dedah penduduk teknik pengkomposan sisa makanan guna kaedah Bokashi

OLEH NINA FARZUIN MD SHAROM

SHAH ALAM, 28 OGOS: Seramai 35 penduduk sekitar Seksyen U11 sertai program Pengkomposan Sisa Makanan Bersama Komuniti di Kebun Komuniti Bukit Bandaraya, semalam.

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berkata program bertujuan untuk memberi pendedahan kepada peserta mengenai pengkomposan sisa makanan yang menggunakan kaedah Bokashi.

“Pihak Bio Terra Solution Sdn Bhd merupakan perunding jemputan bagi program ini yang mana berkongsi pengalaman mengenai pengkomposan sisa makanan.

“Para peserta juga diajar cara-cara yang betul untuk pengkomposan sisa menggunakan kaedah Bokashi,” kata MBSA menerusi Facebook hari ini.

Selepas program selesai, peserta turut dibekalkan dengan tong kompos dan juga serbuk bokashi untuk mempraktikkan pengkomposan sisa makanan di kediman masing-masing.

Tambah MBSA, program sama turut dijalankan di Surau Jalan Universiti, Jalan Kebun Seksyen 30 pasa Sabtu lalu dengan melibatkan seramai 30 peserta daripada penduduk sekitar Jalan Kebun dan juga penduduk di Jalan Kampung Lombong, Seksyen 29.

Bokashi merupakan satu kaedah pengkomposan yang popular berasal dari negara Jepun dengan melibatkan proses penguraian sisa makanan tanpa oksigen sehingga menghasilkan baja kompos yang mempunyai kandungan nutrien yang tinggi.

Bahan-bahan yang digunakan dalam teknik bokashi termasuk sisa makanan, sayur-sayuran yang hampir basi, kulit buah, sisa dapur seperti sisa kopi dan teh, serpihan kertas, dan bahan organik lain.


Pengarang :