Wakil rakyat Kota Anggerik Najwan Halimi mengagihkan Jalur Gemilang kepada pengunjung Stesen Petronas Bukit Jelutong pada 27 Ogos 2023. Foto Facebook Najwan Halimi
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Hari Kemerdekaan: ADN Kota Anggerik agih lebih 1,000 Jalur Gemilang

SHAH ALAM, 28 OGOS: Lebih 1,000 Jalur Gemilang diagih sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik minggu lalu sebagai simbolik sambutan Hari Kemerdekaan ke-66 pada Khamis ini.

Wakil rakyat Najwan Halimi berkata agihan dilakukan di beberapa kawasan tumpuan antaranya Pasar Moden Seksyen 6, Medan Selera Seksyen 2, Petronas Bukit Jelutong dan tapak niaga Taman Alam Budiman, dekat sini.

“Agihan dibuat secara berperingkat minggu lalu. Kita serahkan Jalur Gemilang yang menjadi bendera kebanggaan kepada peniaga serta orang awam.

Wakil rakyat Kota Anggerik Najwan Halimi mengagihkan Jalur Gemilang kepada peniaga di Taman Alam Budiman, Shah Alam pada 27 Ogos 2023. Foto Facebook Najwan Halimi

“Inisiatif ini dapat menyemarakkan semangat patriotisme sempena Hari Kebangsaan. Kibaran Jalur Gemilang akan jadi bukti perpaduan rakyat berbilang kaum yang cintakan Malaysia,” katanya kepada Selangorkini.

Pada 30 Ogos, sambutan Hari Kemerdekaan peringkat negeri bakal dianjurkan di Dataran Kemerdekaan Shah Alam bermula 4.45 petang hingga 12 tengah malam.

Sambutan diisi dengan pelbagai acara menarik antaranya selawat dan munajat dipimpin Habib Ali Zaenal Abidin, persembahan kebudayaan serta perarakan Anak Harapan Selangor dan perbarisan.

Turut diadakan kawad senyap, tarian Zeppo Youngsterz dan pertunjukan bunga api selain persembahan nyanyian artis terkenal Awie dan Ziana Zain.


Pengarang :