Syarikat selenggara jalan negeri, Infrasel Sdn Bhd melaksanakan kerja turapan mega di Jalan B48 Jenderam – Sepang, pada 25 Ogos 2023. Foto laman X Infrasel
AGENSISELANGOR

Infrasel teruskan kerja baik pulih jalan negeri di Sepang

Oleh FHATIHAH ZAKINAN

SHAH ALAM, 28 OGOS: Kerja membaik pulih jalan di seluruh negeri menerusi Projek Turapan Mega Selangor, sejak Mei lalu diteruskan ke beberapa lokasi baharu di Sepang.

Syarikat selenggara jalan negeri, Infrasel Sdn Bhd (Infrasel) memaklumkan, kerja baik pulih jalan raya sedang dilaksanakan di laluan Jalan 1 Labu Lanjut dan Jalan B48 Jenderam – Sepang, sejak 25 Ogos.

“Pada 27 Ogos, #TeamInfrasel sedang melaksanakan kerja-kerja membaik pulih permukaan jalan di laluan Jalan 1 Labu Lanjut, Daerah Sepang.

“Pada 25 Ogos, #Infrasel baru sahaja ‘kick off’ kerja-kerja TurapanMegaSelangor2023 di Jalan B48 Jenderam- Sepang. Nantikan Jalan Jenderam-Sepang yang lebih baik buat rakyat Selangor,” maklumnya di laman X.

Infrasel sebelum ini melaksanakan projek sama di Jalan Marmu, Jalan Ayer Hitam, Jalan Murni dan Jalan Aman Putra di daerah sama, selain Kuala Langat, Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Hulu Selangor, Gombak dan Petaling.

Pada 22 Ogos lalu, Eksekutif Operasi Infrasel Abdullah Hanif Abd Ghalib memaklumkan pelaksanaan 93 projek baik pulih jalan secara besar-besaran di seluruh negeri yang dimulakan sudah mencapai 86 peratus.

Tambahnya pembaikan jalan bawah Projek Turapan Mega dengan kos RM50 juta dijangka selesai pada September dengan keutamaan jalan yang perlu dibaiki turut mengambil kira aduan orang awam.

Pada 21 Julai, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan Infrasel dianggarkan menerima antara 600 hingga 700 laporan jalan rosak setiap bulan sejak ditubuhkan dua tahun lalu.

Sebelum ini, EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim memaklumkan kerja turapan jalan rosak dilaksana secara besar-besaran di sembilan daerah meliputi jarak 94.9 kilometer (km).

Beliau berkata projek melibatkan 118 jalan merangkumi jalan pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta pejabat daerah dan tanah (PDT).

Jalan terlibat meliputi 66 di Petaling diikuti Klang (39), Gombak (29), Hulu Langat (27), Sepang (19), Sabak Bernam (17), Kuala Langat (16), Kuala Selangor (11) dan Hulu Selangor (8).

Syarikat selenggara jalan negeri, Infrasel Sdn Bhd melaksanakan kerja baik pulih Jalan 1 Labu Lanjut, daerah Sepang, pada 27 Ogos 2023. Foto laman X Infrasel

Pengarang :