Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menyerahkan Jalur Gemilang Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor, Mohd Sabirin Mohd Sarbini ketika Program serahan Jalur Gemilang dan ziarah merdeka Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bagi tahun 2023 di lobi Bangunan Sultan Idris Shah pada 28 ogos 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

LZS hulur bantuan tambahan, pastikan keluarga pemandu Grab terbela

SHAH ALAM, 28 OGOS: Lembaga Zakat Selangor (LZS) akan memastikan kebajikan keluarga mangsa nahas pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam terbela melalui beberapa bantuan tambahan.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata bantuan kecemasan telah disampaikan oleh LZS kepada waris pemandu Grab, Allahyarham Sharipuddin Shaari, yang terkorban dalam tragedi itu.

“Bantuan kecemasan sebanyak RM500 sudah kita berikan kepada waris mangsa, Suriana Muda pada 21 Ogos lalu.

“Semakan mendapati balu mangsa tidak bekerja selain menanggung dua anak yang masih bersekolah termasuk komitmen sewa rumah RM900 sebulan.

“Antara cadangan bantuan yang akan dihulur secara bulanan ialah sewa rumah, makanan, persekolahan serta bantuan lain mengikut keperluan keluarga.,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Serahan Bendera Jalur Gemilang dan pelepasan Konvoi Ziarah Merdeka MAIS di Bangunan Sultan Idris Shah, hari ini.

Sharipuddin, 53, adalah seorang daripada 10 orang yang terkorban dalam nahas pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) pada 24 Ogos lalu.

Tragedi itu turut mengorbankan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang Datuk Seri Johari Harun.


Pengarang :