Suasana program Pencegahan Leptospirosis Bersama Komuniti sempena Hari Zoonosis Sedunia 2023 di Pasar Awam Banting, Kuala Langat pada 26 Ogos 2023. Foto Facebook Majlis Perbandaran Kuala Langat
PBTSELANGOR

MPKL edar perangkap tikus di Pasar Awam Banting, cegah Leptospirosis

OLEH FHATIHAH ZAKINAN

SHAH ALAM, 28 OGOS: Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) mengedarkan sebanyak 50 perangkap tikus kepada peniaga Pasar Awam Banting bagi mencegah penyakit bawaan air kencing tikus (Leptospirosis).

Menurut MPKL perangkap tikus itu diedarkan sempena Hari Zoonosis Sedunia 2023 yang disambut pada setiap 6 Julai.

“Perangkap itu disarankan untuk ditempatkan di kawasan simpanan stok, barang perniagaan berpotensi yang mengundang kehadiran tikus mencari makanan atau menjadi perumah.

“Peniaga juga menyambut baik pemberian itu, dan memaklumkan akan menggunakanya mengikut saranan diberikan,” kata pihak berkuasa tempatan itu.

Berdasarkan perkongsian di Facebook MPKL, program berkenaan dirasmikan oleh Pengarah Kawalan Penyakit, Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Anita Suleiman.

Turut hadir, Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Dr Sha’ari Ngadiman; Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan Persekitaran MPKL, Norain Mohamed, wakil pegawai Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan universiti swasta.

Selain mengedarkan perangkap, aktiviti lain turut dianjurkan seperti ceramah, mewarna dan permainan kanak-kanak.


Pengarang :