AGENDANASIONAL

MB seru anak muda contohi Khairul Aming, jadi pempengaruh yang bertanggungjawab

SHAH ALAM, 28 OGOS: Dato’ Menteri Besar mengucapkan tahniah kepada Khairul Aming Kamarulzaman yang dinobatkan sebagai ‘Creator of The Year’ oleh TikTok Malaysia.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kejayaan itu adalah motivasi terbaik kepada anak muda khususnya di negeri ini termasuk menjadi pempengaruh dan pencipta kandungan yang bertanggungjawab di era media sosial.

“Saya meneliti ucapan penghargaan beliau semalam dan memuji pesanan saudara Khairul Aming buat pencipta kandungan muda yang menekankan bahawa pencipta kandungan juga perlu mempunyai adab dan kebolehan untuk menyelesaikan masalah.

“Tauladan dan nasihat saudara Khairul Aming adalah motivasi terbaik buat anak-anak muda khususnya di Negeri Selangor. Di era dunia media sosial yang rancak ini, kesopanan, adab dan pendidikan adalah penting dalam membangun masyarakat yang berbudi pekerti,” katanya di Facebook.

Beliau berkata di bawah Tawaran Kita Selangor, Kerajaan Perpaduan turut melaksanakan Geran Kreatif Digital Kita Selangor bertujuan untuk merancakkan aktiviti dan kreativiti kandungan digital dalam kalangan anak muda.

“Insya-Allah kita berharap agar lebih ramai anak muda akan mengikuti jejak langkah saudara Khairul Aming dalam menjadi pempengaruh dan pencipta kandungan yang bertanggungjawab,” katanya.


Pengarang :