AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Permohonan insentif yuran daftar taska RM100 dibuka mulai 1 September

SHAH ALAM, 29 OGOS: Permohonan Insentif Yuran Pendaftaran Taska (Pintas) sekali bayar bernilai RM100 dibuka mulai 1 September ini, maklum EXCO pembangunan wanita dan kebajikan masyarakat.

Anfaal Saari berkata insentif kelolaan Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) boleh dimohon ibu bapa berpendapatan isi rumah antara RM5,001 hingga RM8,000.

EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari 

“Moga dengan inisiatif ini dapat mengurangkan tanggungan ibu bapa yang bekerjaya dan memastikan anak-anak mendapat penjagaan serta perhatian secukupnya sejak kecil,” tulisnya di laman X.

Sementara itu, Yawas memberitahu permohonan terhad kepada dua anak usia bawah empat tahun untuk satu keluarga, bukan penerima bantuan Skim Bantuan Asuhan Anakku Pintar (Asuh Pintar) selain Taska berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat di Selangor.

“Syarat permohonan lain ialah pemohon dalam kalangan ibu bapa mestilah warganegara Malaysia, pengundi Selangor, menetap di negeri ini dan sedang bekerja,” katanya.

Permohonan boleh dibuat secara dalam talian melalui pautan pintas.yawas.com.my dengan menyertakan beberapa dokumen dalam tempoh 21 hari selepas pendaftaran.

Dokumen perlu dimuat naik seperti berikut:

  • salinan sijil kelahiran anak
  • salinan kad pengenalan pemohon
  • salinan daftar pengundi
  • salinan penyata gaji terkini pemohon dan pasangan
  • salinan akaun bank
  • salinan surat akuan berkanun atau sijil anak angkat
  • salinan resit pembayaran yuran pendaftaran taska bagi kemasukan 2023

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar ketika membentang Belanjawan Selangor 2023 mengumumkan bantuan sekali bayar RM100 kepada ibu bapa yang memiliki anak berusia empat tahun ke bawah untuk kemasukan ke taska atau nurseri.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata insentif pendaftaran tahunan untuk golongan berpendapatan sederhana (M40) membabitkan dana keseluruhan RM500,000.

 


Pengarang :