Gambar hiasan perbicaraan dalam mahkamah. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Penganggur ceroboh rumah pengacara untuk makan, tidur didenda RM3,000

SHAH ALAM, 29 OGOS: Seorang penganggur didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Rembau hari ini selepas mengaku bersalah sengaja menceroboh rumah pelakon dan pengacara Ahmad Nabil Ahmad.

Tertuduh Fadzril Aqmal Abdul Anif, 31, dari Rembau, mengaku salah melakukan perbuatan itu sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Kartini Kasran, lapor Berita Harian.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh melakukan perbuatan itu pada 4 Januari 2022, jam 7.50 malam di Kampung Senama Tengah Rembau dengan menolak pintu secara kuat untuk masuk.

Tertuduh juga dikatakan makan, berehat dan tidur dalam rumah berkenaan sebelum diperiksa adik kepada Ahmad Nabil yang ditugaskan menjaga kediaman itu selepas menerima aduan.

Pemeriksaan menjumpai sehelai kemeja-T, tiga helai seluar balapan (tracksuit), sepasang kasut dan MyKad milik tertuduh dalam poket seluar balapan berkenaan.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 442 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan. Majistret turut memerintahkan lelaki itu dipenjara 10 bulan jika gagal membayar denda.


Pengarang :