Eksekutif e-Dagang Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) Mohamad Khairul Ikhwan Mohamad Saufi berucap dihadapan 40 wakil syarikat pemula terpilih menyertai latihan dan bimbingan percuma bawah Program Pemecut Selangor (SAP) di ibu pejabat Sidec di i-City, Shah Alam pada 23 Ogos 2023. Foto Facebook Sidec – Selangor Information Technology and Digital Economy Corporation
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

40 syarikat pemula sertai latihan, bimbingan percuma bawah Program Pemecut Selangor

SHAH ALAM, 30 OGOS: Sebanyak 40 syarikat pemula sertai latihan dan bimbingan percuma bawah Program Pemecut Selangor (SAP) kohort enam sejak minggu lepas, maklum Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec).

Eksekutif e-Dagangnya berkata ia membabitkan syarikat dalam sektor kecerdasan buatan (AI), impak kemampanan, teknologi kesihatan, teknologi agrikultur dan bioteknologi.

Menurut Mohamad Khairul Ikhwan Mohamad Saufi, syarikat pemula itu dipilih daripada lebih 200 penyertaan yang diterima bagi mengikuti program mengembangkan perniagaan selama tiga bulan.

“Kita kenal pasti 40 syarikat pemula untuk mengikuti latihan intensif ini berbanding 30 pada lima siri terdahulu kerana banyak cabang difokuskan kali ini.

“Peserta akan diberi bimbingan bagaimana untuk buat ‘pitching’ (pembentangan) sebab di penghujung program kita sasar bawa mereka bentang depan pelabur,” katanya ketika dihubungi.

menurut beliau, selepas tamat latihan, 20 syarikat pemula akan dipilih membuat pembentangan akhir (final pitching) di hadapan juri profesional dan pelabur di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 22 September.

“Tetapi sebelum ini kesemua 40 syarikat pemula akan bentang di peringkat separuh akhir dan dari situ 20 akan dipilih untuk ke pembentangan akhir,” katanya.

Permohonan syarikat pemula menyertai SAP kali ini meningkat 36.4 peratus iaitu 225 permohonan diterima tahun lalu berbanding 165 pada 2021.

Sejak diperkenal pada 2018, seramai 120 usahawan e-dagang berjaya dilahirkan menerusi SAP setakat ini.

SAP merupakan program berstruktur selama tiga bulan bertujuan memberi persediaan kepada syarikat pemula dalam menerima pelaburan.


Pengarang :