Ratusan hadirin membanjiri Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada program Munajat semperna sambutan Hari Kebangsaan Ke-66 peringkat negeri Selangor di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 30 Ogos 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Lebih 500 sertai munajat sempena sambutan Hari Kebangsaan

SHAH ALAM, 30 OGOS: Lebih 500 pengunjung menghadiri program Munajat sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-66 peringkat negeri di Dataran Kemerdekaan Shah Alam di sini petang tadi.

Majlis yang diserikan dengan penampilan pendakwah terkenal Habib Ali Zaenal Abidin turut disertai ratusan pelajar dari sembilan pusat tahfiz mewakili setiap daerah.

Turut hadir EXCO Hal Ehwal Agama Dr Fahmi Ngah, Mufti Selangor Dato’ Dr Anhar Opir dan isteri Dato’ Menteri Besar Datin Seri Masdiana Muhammad.

Mufti Selangor Dato’ Dr. Anhar Opir bersama EXCO Hal Ehwal Agama Dr Fahmi Ngah hadir ke program Munajat semperna sambutan Hari Kebangsaan ke-66 peringkat negeri Selangor di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 30 Ogos 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI

Dr Fahmi ketika ditemui berkata Kerajaan Negeri berhasrat menganjurkan program munajat dan keagamaan sempena sambutan Hari Kebangsaan sebagai acara tahunan.

“Kita akan buat secara acara tahunan. Ada cadangan supaya kita buat antara waktu Maghrib dan Isyak, supaya lebih ramai lagi orang dapat datang, terutamanya selepas balik kerja,” katanya.

Sementara itu, Dr Anhar ketika menyampaikan tausiyah bertajuk ‘Mensyukuri Nikmat Kemerdekaan’ berkongsi tiga cara untuk mengekalkan nikmat merdeka.

Menurutnya, umat Islam perlu mengenang jasa tokoh yang berjaya membebaskan negara daripada penjajah, selain melaksanakan ketaatan sebagai bukti bersyukur terhadap nikmat Allah.

Dr Anhar menambah, umat Islam juga bertanggungjawab terhadap pilihan pengisian sambutan kemerdekaan, sama ada menurut syariat atau sebaliknya.

Mufti Selangor Dato’ Dr. Anhar Opir (kiri) bersama pendakwah terkenal Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid menyampaikan tausiyah pada program Munajat semperna sambutan Hari Kebangsaan Ke-66 peringkat negeri Selangor di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 30 Ogos 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI

“Merdeka adalah nikmat Allah. Dengan asbab merdeka, kita dapat melakukan ibadat dengan bebas dan baik tanpa sebarang gangguan.

“Apabila kita sebut ia nikmat Allah, ia wajib disyukuri. Nikmat yang tidak disyukuri akan kekal, tetapi kalau dikufuri akan ditarik balik,” katanya.

Sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri diteruskan dengan pelbagai acara menarik antaranya termasuklah persembahan kawad senyap, t-baton, ketenteraman awam dan pertunjukan bunga api.

Orang ramai yang tidak berkesempatan hadir ke Dataran Kemerdekaan Shah Alam boleh mengikuti acara berkenaan secara langsung di saluran YouTube SelangorTV dan MYTV Mana-Mana.


Pengarang :