Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan cek cura Anugerah Tokoh Kemerdekaan Negeri Selangor kepada waris Leftenan Adnan ketika sambutan ambang Hari Kebangsaan ke-66 bertemakan Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 30 Ogos 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selepas difilemkan, Leftenan Adnan dinobat Tokoh Kemerdekaan Selangor

Oleh FITRI HAZIM HAZAM & NORRASYIDAH ARSHAD

SHAH ALAM, 31 OGOS: Pahlawan dari Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Leftenan Adnan Saidi dinobatkan sebagai Tokoh Kemerdekaan Selangor pada sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri yang berlangsung di Dataran Kemerdekaan malam tadi.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan anugerah itu kepada Mohd Asrul Halim Ahmad, cicit saudara tokoh yang kisahnya pernah difilemkan pada 2000, yang menerima wang tunai RM10,000 dan trofi.

Mohd Asrul, 39, yang kini berkhidmat di Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) meluahkan rasa bersyukur dan terharu terhadap Kerajaan Negeri Selangor kerana memberikan pengiktirafan tersebut kepada moyangnya.

“Atuk saya sangat menekankan dalam apa jua cabaran dalam kehidupan dihadapi prinsipnya ‘biar putih tulang jangan putih mata’.

“Keberanian atuk saya yang berjuang habis-habisan menentang tentera Jepun hingga ke titisan darah terakhir akan terus dikenang sampai bila-bila.

“Saya dipilih oleh keluarga untuk menerima anugerah ini kerana wajah saya mirip Allahyarham atuk saya. Ini kali pertama atuk saya diberi anugerah atas jasanya. Rasa puas dan bangga mewakili beliau untuk menerima anugerah ini,” katanya .

Beliau yang membahasakan Leftenan Adnan sebagai atuk ditemui pada majlis sambutan yang bertemakan Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan itu.

Pertunjukan bunga api ketika sambutan ambang Hari Kebangsaan ke-66 peringkat negeri di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 30 Ogos 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Mohd Asrul berharap pengiktirafan tersebut akan meningkatkan semangat juang kepada keluarganya dan orang ramai untuk mempertahankan kedamaian dan kebebasan yang dikecapi negara sehingga ke hari ini.

“Saya berharap generasi muda dapat menghayati kisah perjuangan dan pengorbanan Leftenan Adnan kerana cabaran mempertahankan kemerdekaan lebih sukar dari mencapai kemerdekaan.

“Sekarang menjadi tanggungjawab generasi muda ini untuk terus bekerjasama dan bersatu padu mengekalkan kedamaian negara yang kita cintai ini, jangan sia-siakan perjuangan atuk saya,” katanya.


Pengarang :