Pertunjukan bunga api ketika sambutan ambang Hari Kebangsaan ke-66 peringkat negeri di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 30 Ogos 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kanak-kanak teruja saksi perarakan, ibu bapa dedah erti kemerdekaan

Oleh JULIANA JOHAR

SHAH ALAM, 31 OGOS: Sambutan Hari Kebangsaan ke-66 peringkat negeri di Dataran Kemerdekaan malam tadi menarik perhatian pengunjung khususnya kanak-kanak melalui pelbagai aktiviti yang diadakan.

Ibu bapa berkata golongan itu sangat teruja dan gembira menyaksikan perarakan daripada pelbagai kontinjen selain pertunjukan bunga api tepat jam 12 tengah malam menandakan simbolik sambutan hari kemerdekaan tahun ini.

Khonie Abdul Mutalib, 35, dari Klang membawa anak bongsu, Alif Haidar, 3, bagi memberi pengalaman buat anaknya itu merasai sendiri suasana meriah sempena sambutan berkenaan.


Khonie Abdul Mutalib membawa anak bongsu, Alif Haidar menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan ke-66 di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam pada 30 Ogos 2021. Foto JULIANA JOHAR/SELANGORKINI

“Saya dan isteri memang rancang bawa anak bongsu sebab ini kali pertama dia sambut Hari Kebangsaan. Walaupun masih kecil lagi untuk memahami semua ini tapi nampak dia sangat teruja dengan perarakan serta pertunjukan bunga api,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Amirul Fahmi Che Rozali, 33, dari Klang berkata setiap tahun dia menantikan sambutan di Shah Alam berbanding di tempat lain.

“Ia seakan tradisi buat saya dan isteri sebab sejak dari belum berkahwin memang kami sentiasa sambut di Shah Alam dan sekarang diteruskan dengan disertai tiga anak kami.


Muhammad Amirul Fahmi Che Rozali bersama isteri dan tiga anak menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan ke-66 di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam pada 30 Ogos 2021. Foto JULIANA JOHAR/SELANGORKINI

“Bagi saya penting untuk ibu bapa beri pendedahan awal kepada anak-anak mengenai sambutan Hari Kebangsaan, sekurang-kurangnya semangat patriotik itu dapat disemai sejak mereka kecil lagi,” katanya.

Bagi Aisyah Nordin, 28, dari Sungai Buloh, dia teruja kerana dapat menyambut dengan anaknya, Habib Aryan Fikri yang baharu berusia setahun.

“Anak gembira bila menyaksikan perbarisan dan mainan api yang dipamerkan kontinjen Sunway Lagoon.


Aisyah Nordin membawa anak Habib Aryan menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan ke-66 di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam pada 30 Ogos 2021. Foto JULIANA JOHAR/SELANGORKINI

“Sambutan tahun ini sangat meriah dan harap semangat cintakan negara terus subur dalam kalangan penduduk Malaysia dan rakyat Selangor khususnya,” katanya.

Sambutan ambang Hari Kebangsaan ke-66 peringkat negeri diserikan dengan kehadiran Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Pengunjung disajikan dengan pelbagai program menarik antaranya perarakan 66 kontinjen, persembahan kawad senyap, t-baton serta pertunjukan bunga api.

Sambutan turut dimeriahkan dengan persembahan nyanyian daripada Datuk Awie, Ziana Zain dan Iman Troye.


Pengarang :