Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain. Foto Bernama
AGENDAJENAYAH

Dua lelaki ditahan polis susulan hinaan terhadap institusi diraja

SHAH ALAM, 31 OGOS: Polis menahan dua individu semalam berhubung hantaran berbaur penghinaan terhadap institusi diraja.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kedua-dua suspek warga tempatan itu ditahan secara berasingan kerana memuat naik hantaran yang cenderung menghasut.

Beliau berkata, hasutan itu dilihat mendatangkan penghinaan atau membangkitkan perasaan tidak setia terhadap institusi diraja, lapor Sinar Harian.

“Suspek pertama yang dipercayai pemilik atau pengendali akaun Facebook ‘Flat Earth Malaysia’ berusia 41 tahun ditangkap di Kampung Sungai Kati, Ipoh, Perak susulan hantaran berbaur penghinaan terhadap institusi Diraja Johor.

“Sementara suspek kedua dipercayai pemilik atau pengendali akaun Facebook ‘Iman Mustaqim’ yang berumur 47 tahun ditangkap di Langkap, Perak kerana disyaki memuat naik hantaran mengandungi kenyataan menghina Sultan Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, permohonan reman selama tiga hari ke atas kedua-dua suspek telah dilakukan mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bermula 31 Ogos hingga 2 September ini.

Mohd Shuhaily berkata, kes disiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) D5 JSJ Bukit Aman berdasarkan Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Polis menggesa orang ramai menjadi pengguna media sosial yang bijak dan berhemah.

“Selain itu berusaha mengelak daripada mengeluarkan kenyataan yang boleh menggugat keharmonian dan perpaduan terutama melibatkan isu agama, raja dan bangsa (3R),” katanya.


Pengarang :