Perarakan sambutan Hari Kemerdekaan ke-66 di Kampung Nakhoda, Batu Caves pada 31 Ogos 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Patriotik merdeka zahir nikmat kesyukuran, semai semangat patriotisme

Oleh DIANA ABD WAHAB

GOMBAK, 31 OGOS: Program Patriotik Kemerdekaan sempena Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-66 yang dianjurkan Masjid Jamek Kampung Nakhoda di sini dilihat usaha terbaik menzahirkan kesyukuran atas nikmat kemerdekaan yang dikecapi ketika ini.

Bagi Mohd Nor Daud, 85, yang juga peserta perarakan tertua inisiatif diambil pihak pengurusan masjid meberi peluang kepada generasi muda merasai keagungan dan nikmat kemerdekaan yang dikecapi hasil keringat pemimpin terdahalu yang berjuang menentang penjajah.

Peserta perarakan tertua Mohd Nor Daud, 85, ditemui pada program sambutan Hari Kemerdekaan ke-66 di Kampung Nakhoda, Batu Caves pada 31 Ogos 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

“Kalau tak buat begini (program) semangat cintakan negara dalam kalangan generasi muda akan terkubur dan dilupakan begitu sahaja, padahal ini maruah kita, parti dan orang Melayu.

“Malah program dilihat boleh semai semangat patriotisme dalam kalangan anak kecil apabila ibu bapa bawa mereka sertai aktiviti sebegini agar mereka ada semangat pertahankan tanah air pada masa depan,” kata bekas guru Bahasa Melayu dan Agama Islam ini kepada Selangorkini.

Mohd Nor yang juga antara peneroka awal Kampung Nakhoda berkata dia bersemangat menyertai program Patriotik Kemerdekaan namun sentiasa mengikut nasihat doktor memandangkan usianya semakin lanjut.

Sementara pelajar Azmida Techical College (ATC), Adfira Nursyah Hesen, 20, berkata program yang dianjurkan wajar dipuji kerana membantu generasi muda menzahirkan rasa cinta terhadap negara.

“Saya sertai program ini sebagai usaha hargai jasa pejuang negara yang yang bertungkus lumus perjuangkan kemerdekaan dan pertahan kedaulatan tanah air yang dicengkam penjajah.

Adfira Nursyah Husen, 20, ditemui pada program sambutan Hari Kemerdekaan ke-66 di Kampung Nakhoda, Batu Caves pada 31 Ogos 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

“Rasa sayang dan cintakan negara bukan sahaja hanya dizahirkan dengan kibar Jalur Gemilang atau raikan Hari Kemerdekaan setiap tahun. Namun semangat patriotik perlu disemat dalam sanubari agar terus mekar,” katanya yang berhasrat menyertai program sama tahun depan.

Mereka antara 300 peserta program Patriotik Kemerdekaan yang berarak sejauh 1.5 kilometer sekitar Kampung Nakhoda yang bermula dan berakhir di pekarangan masjid itu.

Program itu disertai lapan kontinjen membabitkan Masjid Kampung Nakhoda, Persatuan Warga Tua Kampung Nakhoda (Pewares), Masjid Jamiatus Solahiah, Persatuan LKPI Kampung Nakhoda, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Nakhoda, Surau Al Karimiah Kampung Laksamana Jawatankuasa Penduduk Zon 6 Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan ATC.

Peserta melafazkan ikrar pada program Hari Kemerdekaan ke-66 di Kampung Nakhoda, Batu Caves pada 31 Ogos 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Pengarang :