Peserta bergambar sebelum memulakan perarakan Sambutan Hari Kemerdekaan ke-66 di Kampung Nakhoda, Batu Caves pada 31 Ogos 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Masjid wadah penyatuan, tingkat semangat patriotisme penduduk

OLEH DIANA ABD WAHAB

GOMBAK, 1 SEPT: Program Patriotik Kemerdekaan sempena Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-66 antara inisiatif dilaksana Masjid Jamek Kampung Nakhoda bagi meningkatkan patriotisme dalam kalangan penduduk.

Nazirnya Mohd Azmi Md Eusoff berkata pihaknya mengajurkan program itu di masjid kerana institusi itu dilihat sebagai wadah yang mampu menyatu dan eratkan hubungan silaturahim.

Mohd Azmi Md Eusoff

“Kita ambil inisiatif anjur program ini di masjid kerana lebih mudah anjurkan di sini berbanding di luar berikutan pelbagai isu seperti perbezaan fahaman politik dan kepartian.

“Kemerdekaan sebenarnya menjurus kepada keimanan, justeru masjid dilihat sebagai saluran paling mudah untuk dekatkan masyarakat dengan aktiviti sebegini.

“Tak sangka (program) dapat sambutan hebat, paling membanggakan mereka lupakan soal kepartian dan perbezaan pendapat dengan sama-sama sokong dan mainkan peranan untuk jayakan program,” katanya.

Beliau ditemui ketika menyertai perarakan membabitkan 300 peserta sejauh 1.5 kilometer sekitar Kampung Nakhoda yang bermula dan berakhir di pekarangan masjid terbabit.

Perarakan sambutan Hari Kemerdekaan ke-66 di Kampung Nakhoda, Batu Caves pada 31 Ogos 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Mohd Azmi menambah program Patriotik Kemerdekaan yang julung kali dianjurkan juga mampu memupuk semangat patriotisme khususnya dalam kalangan generasi muda.

“Sebagai generasi lebih tua kita lihat kepentingan untuk beri bimbingan dan gambaran kepada generasi muda untuk hargai nikmat kemerdekaan, pelihara kedaulatan tanah air dan zahirkan semangat cintakan negara menerusi penganjuran program begini.

“Hari ini kita berjaya kumpulkan lebih 100 penyertaan dalam kalangan murid sekolah untuk turut sama sertai perarakan bersama kontinjen lain,” katanya.

Program itu disertai lapan kontinjen membabitkan Masjid Kampung Nakhoda, Persatuan Warga Tua Kampung Nakhoda (Pewares), Masjid Jamiatus Solahiah, Persatuan LKPI Kampung Nakhoda, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Nakhoda, Surau Al Karimiah Kampung Laksamana Jawatankuasa Penduduk Zon 6 Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Azmida Technical College (ATC).


Pengarang :