Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu Tunku Abdul Rahman Putra melaungkan ‘Merdeka’ pada Upacara Pemasyhuran Kemerdekaan negara di Stadium Merdeka pada 31 Ogos 1957. Foto Demi Malaiu
BERITA UTAMABUDAYARENCANA

Dari penjajahan British hingga penyatuan negeri membentuk Malaysia

Oleh ABDUL RAHIM SABRI

Perjanjian Inggeris-Belanda pada 17 Mac 1824 membahagi wilayah kuasa kolonial di kepulauan Melayu. British menguasai Singapura dan Melaka manakala Belanda memerintah Jawa dan Sumatera.

Dua tahun kemudian, empat negeri di utara Tanah Melayu iaitu Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu serta Pattani diletak bawah kekuasaan Siam menerusi Perjanjian Inggeris–Siam.

Sekitar 1840-an, wujud permintaan tinggi terhadap bijih timah menyebabkan banyak kawasan baharu diteroka raja dan pembesar Melayu. Pelombong Cina juga dibawa masuk ke Lembah Klang.

Perdagangan bijih timah rancak di muara Sungai Klang dan Sungai Gombak antaranya pembukaan lombong oleh Pembesar Klang Raja Abdullah di kawasan yang kini dikenali Ampang pada 1857.

Menurut JM Gullick, penulis buku Sejarah Selangor, Kuala Lumpur, kawasan utama pendaratan pelombong, lahir ekoran kepesatan kegiatan berkenaan di muara sungai tersebut.

Dari Kuala Lumpur – sebahagian daripada Selangor ketika itu – bijih timah diangkut ke pelabuhan di Kuala Selangor untuk dieksport ke negara Barat sejak 1859.

Dalam Perjanjian Pangkor 1874 pula, British dalam usaha melindungi kepentingan ekonomi mula campur tangan di Perak dan memperkenal sistem Residen yang menguasai pentadbiran negeri.

Pada tahun sama, British meluaskan pengaruh ke Selangor dan Sungei Ujong di Negeri Sembilan sebelum Pahang pada 1888. Semua wilayah itu menjadi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (NMB).

Penyatuan empat negeri Melayu tersebut menyaksikan pentadbir Inggeris Sir Frank Swettenham dilantik sebagai Jeneral Residen NMB yang pertama.

Kedudukan Kuala Lumpur, ditambah faktor perkembangan pesat ekonomi, menjadikannya ibu negeri NMB, 16 tahun selepas bandar berkenaan dijadikan ibu negeri Selangor menggantikan Klang.

British menguasai Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu (NMTB) yang sebelum ini diperintah Siam menerusi perjanjian pada 10 Mac 1909. Johor pula ditadbir British lima tahun kemudian.

Semua negeri bergabung dalam Persekutuan Tanah Melayu yang dibentuk pada 1948, sekali gus menggantikan pemerintahan Malayan Union yang dibantah keras pemimpin Melayu khususnya Umno.

Askar Melayu ketika penjajahan British. Foto PeKhabar

Kelahiran Malaysia

Berusaha melindungi kepentingan ekonomi, British yang berdepan ancaman komunis antara 1945 hingga 1948 memberi kemerdekaan kepada Persekutuan Tanah Melayu pada tanggal 31 Ogos 1957.

Bendera petak biru di sudut atas kiri bulan sabit, 11 jalur, enam merah dan lima putih serta bintang kuning 11 bucu dikibar di Istana Selangor pada 26 Mei 1950, tanda berdirinya sebuah negara baharu.

Malaysia pula lahir selepas hasil pungutan suara yang dibuat Suruhanjaya Cobbold pada 1962 terhadap penduduk Sarawak, Sabah, Brunei dan Singapura yang dijalankan setahun sebelum itu.

Sarawak, Sabah dan Singapura setuju bergabung dengan Persekutuan Tanah Melayu. Pengisytiharan Malaysia dibuat pada 16 September 1963. Namun, Singapura dikeluarkan dua tahun kemudian.

Penyatuan semua Negeri-Negeri Selat, NNMB dan NMTB itu terpancar menerusi Jata Negara melalui cogan kata Bersekutu Bertambah Mutu. Lambang rasmi kerajaan Malaysia itu diperkenan dan diwarta Raja-Raja Melayu pada 30 Mei 1952.

Upacara pengisytiharan Malaysia di Stadium Merdeka Kuala Lumpur pada 16 September 1963. Foto Mypt3
  • 1824 – Perjanjian Inggeris-Belanda membahagi wilayah kekuasaan
  • 1826 – Siam kuasai empat negeri menerusi Perjanjian Inggeris-Siam
  • 1859 – Pembukaan Kuala Lumpur
  • 1874 – Perjanjian Pangkor (gambar) menyaksikan Perak terima sistem Residen 1880 – Ibu negeri Selangor dipindah dari Klang ke Kuala Lumpur
  • 1888 – British luaskan pengaruh ke Pahang
  • 1896 – Kuala Lumpur jadi pusat NegeriNegeri Melayu Bersekutu
  • 1909 – Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis diserah kepada British
  • 1914 – British luaskan pengaruh ke Johor
  • 1946 – Cadangan penubuhan Malayan Union
  • 1948 – Persekutuan Tanah Melayu dibentuk
  • 1957 – Pengisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu
  • 1963 – Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura bergabung jadi Malaysia
  • 1965 – Singapura dikeluarkan daripada Malaysia

Pengarang :