Peserta yang hadir ketika program Jelajah Usahawan Digital Selangor siri keempat anjuran Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) di Dewan Dato’ Penggawa Permatang, Kuala Selangor pada 6 Ogos 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sidec perkenal program latihan, bantu usahawan jana jualan cecah RM1 juta

SHAH ALAM, 1 SEPT: Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) memperkenalkan program latihan dan bimbingan e-dagang yang akan melibatkan penyertaan 30 syarikat terpilih.

Eksekutif e-Dagangnya Mohamad Khairul Ikhwan Mohamad Saufi berkata kohort pertama program Selangor EC Xccelarator bermula pada 9 September dengan syarikat terpilih mengikuti latihan intensif percuma selama tiga bulan.

Berbeza dengan Program Pemecut Selangor (SAP), beliau berkata syarikat dikenal pasti terlibat dalam sektor makanan dan minuman, fesyen dan gaya hidup, kecantikan dan kesihatan, pendidikan dan pembelajaran serta ruang kediaman.

“Mekanisme program baharu ini hampir sama dengan SAP, iaitu tiga bulan latihan dan bimbingan cuma kita buka kepada syarikat yang sudah memasarkan produk dalam platform e-dagang.

“Selain mendapatkan dana daripada pelabur, kita mahu kembangkan hasil jualan mereka sekurang-kurangnya mencecah RM1 juta selain sejuta tempahan (produk yang dipasarkan),” katanya ketika dihubungi.

Beliau menambah program yang akan dilancar pada 5 September kesinambungan Malaysia Top e-Commerce Merchant Awards (Top ECM) dengan peserta yang tamat latihan akan menerima pengiktirafan.

Tahun lalu, Top ECM menunjukkan peningkatan sebanyak 25.3 peratus berbanding jualan 2021 sebanyak RM47 juta dan 358,609 tempahan.

Semua peniaga e-dagang yang mengambil bahagian dinilai berdasarkan peraduan jualan dalam talian (50 peratus), peraduan strim langsung (25 peratus) dan potensi perniagaan (25 peratus).


Pengarang :