Orang ramai tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan asas pada harga murah di Jualan Ehsan Rahmah DUN Bandar Baru Klang di Surau Al Falah, Klang pada 24 Ogos 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

DUN Batu Tiga, Seri Serdang antara lokasi jualan murah esok

SHAH ALAM, 1 SEPT: Program jualan murah barangan keperluan asas kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) akan diteruskan ke tiga lokasi esok.

Bermula 10 pagi, Jualan Ehsan Rahmah (JER) akan diadakan di medan selera Seksyen 20, Shah Alam (Dewan Undangan Negeri – DUN Batu Tiga) dan Surau Al-Munir (DUN Seri Serdang).

Menurut poster di Facebook PKPS, jualan hingga 1 tengah hari turut dijadual berlangsung di sebelah Restoran Craven Cafe, Jalan Wangsa 2 (DUN Bukit Antarabangsa).

Jualan tersebut yang dijenamakan semula daripada Jualan Ehsan Rakyat akan diteruskan hingga Disember depan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Lokasi terkini jualan murah di seluruh negeri boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan linktr.ee/myPKPS.

 


Pengarang :