Pengunjung merakam gambar sempena Pameran Udara Selangor (SAS) 2022 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark, Bukit Jelutong, Shah Alam pada 10 September 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pameran Udara Selangor sedia khidmat bas ulang-alik, parkir percuma

SHAH ALAM, 1 SEPT: Pameran Udara Selangor (SAS) 2023 menyediakan perkhidmatan bas ulang-alik dan tempat letak kenderaan percuma kepada pengunjung sepanjang acara berlangsung pada 7 hingga 9 September ini.

Invest Selangor Berhad menerusi kenyataan memaklumkan pelawat yang tiba dengan kenderaan persendirian digalak parkir di kawasan Stadium Shah Alam bersebelahan Giant Seksyen 13.

“Perkhidmatan bas ulang-alik khusus akan beroperasi membawa pelawat dari kemudahan tempat letak kereta stadium ke Skypark RAC, Bukit Jelutong iaitu lokasi SAS2023.

“Kemudian, pengunjung boleh terus ke kaunter Pendaftaran C untuk mengimbas kod QR daripada e-mel pengesahan dan mengambil gelang tangan sebelum ke Pendaftaran B bagi pemeriksaan keselamatan,” katanya.

Agensi itu menjelaskan pengunjung yang menggunakan perkhidmatan e-panggilan pula boleh berhenti di i-Parc 3 sebelum menaiki van ulang-alik yang akan membawa mereka ke lokasi pameran.

“Semua pelawat perlu mematuhi peraturan keselamatan semasa memasuki lapangan terbang atau kawasan selamat dan tertakluk kepada pemeriksaan oleh kakitangan keselamatan penerbangan,” katanya.

SAS 2023 bertemakan ‘Satu-satunya Pertunjukan dan Perniagaan Penerbangan di Rantau Ini’ bakal menarik lebih 20,000 pengunjung dengan sasaran potensi nilai transaksi RM700 juta.

Acara itu akan menempatkan 41 pameran pesawat statik dan disertai 117 pempamer dari enam negara iaitu Amerika Syarikat, Perancis, Denmark, Singapura, Australia dan Hong Kong.

Sebarang maklumat berhubung SAS 2023 boleh mengikuti platform media sosial Facebook, Instagram dan LinkedIn (@selangoraviationshow) dan Twitter (@SelAviationShow).

Mula dianjur sejak 2021, SAS menjadi landasan negeri menggalakkan pertumbuhan sektor aeroangkasa selain membantu syarikat tempatan dan usahawan meneroka bidang itu.

Tahun lalu, program tersebut mencatat potensi nilai transaksi RM1.174 bilion.


Pengarang :