AGENSISELANGOR

3,000 kupon percuma untuk pengunjung di pesta buah-buahan tempatan

Oleh Fitri Hazim Hazam

SHAH ALAM, 1 SEPT: Jabatan Pertanian Negeri Selangor (JPNS) mempelawa orang ramai ke Pesta Buah-Buahan Tempatan Negeri Selangor 2023 pada 9 dan 10 September ini di SACC Mall.

JPNS memaklumkan pelbagai jenis buah-buahan tempatan disediakan sepanjang dua hari program selain pelbagai aktiviti menarik dianjurkan.

Pihaknya turut menyediakan 3,000 kupon percuma kepada pengunjung terawal bernilai RM20 untuk setiap keluarga.

“Selain kupon percuma, pelbagai aktiviti menarik menanti seperti kenal dan makan buah, pertandingan mewarna, ukir buah, makan buah, kupas nangka dan teka berat buah.

“Selain itu ada pertunjukan fesyen, persembahan artis dan rerurai jabatan serta agensi berkaitan turut disediakan,” kata JPNS menerusi Facebook hari ini.

Pesta itu bermula dari jam 10 pagi hingga 10 malam dan ia merupakan usaha sama JPNS bersama Unit Perancang Ekonomi Selangor sempena Jelajah Agro Selangor.


Pengarang :