Sebahagian pelajar menduduk peperiksaan di Darul Quran Pitas, Batu Caves pada 24 Januari 2022. Foto Facebook Ustaz Hafiz – Pencetus Ummah
AGENDANASIONAL

Persatuan tahfiz: Garis panduan sekolah agama jamin keselamatan pelajar

SHAH ALAM, 1 SEPT: Tohmahan sesetengah pihak yang mendakwa kononnya pentadbiran negeri mengarahkan lebih 200 sekolah agama persendirian di Selangor ditutup sebagai tidak berasas.

Pengerusi Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran Selangor (Pitas) menegaskan tiada bukti mahupun dokumen berkaitan menunjukkan arahan tersebut dikeluarkan kepada pihak berkuasa.

“Isu sekolah agama ditutup adalah satu fitnah dan tidak benar sama sekali. Beritahu pada saya, berikan fakta mana ekolah yang mendapat surat arahan penutupan? Tiada.

“Perkara ini saya sahkan sendiri dengan pengerusi gabungan sekolah Islam Selangor (Gasis) dan mereka pun terkejut dari mana datang dakwaan ini,” kata Muhamad Hafiz Muhamad Haneefa.

Bercakap dalam temu bual eksklusif bersama Media Selangor baru-baru ini, beliau menjelaskan program pemutihan sekolah agama persendirian di negeri ini dibuat sejak 2019.

Bukan untuk menutup sekolah tanpa alasan kukuh, sebaliknya beliau berkata ia bagi memastikan institusi berkenaan mematuhi peraturan dan garis panduan ditetapkan pihak berkuasa.

Pelajar membaca ayat suci Al-Quran majlis khatam hafazan ketika Ijtimak Huffaz Selangor ke – 15 anjuran Persatuan Institut Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS) di Masjid Negeri, Shah Alam pada 24 April 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Ini juga bagi memastikan keselamatan sekolah dan pelajar terjamin selaras titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj,” kata Muhamad Hafiz lagi.

Sebelum ini, Baginda dalam titahnya gusar peningkatan kejadian malang terutama selepas tragedi kebakaran di sekolah agama persendirian Darul Ittaqiyah yang meragut 23 nyawa pada 2017.

Pada 16 Ogos, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari meminta semua pihak supaya tidak mengulangi fitnah kononnya lebih 200 sekolah agama persendirian di negeri ini akan ditutup.

Julai lalu, beliau menegaskan tiada satu pun notis merobohkan mana-mana sekolah agama persendirian dikeluarkan pentadbiran negeri seperti dakwaan pihak tertentu.

Pada 27 Jun, Kerajaan Selangor juga memberi kelonggaran dengan melanjutkan tempoh pendaftaran 55 sekolah agama persendirian untuk beroperasi sekurang-kurangnya hingga tahun depan.

Ia membantu kira-kira 10,000 pelajar untuk menduduki peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) pada November dan Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) pada Januari tahun depan.

Setakat ini, sebanyak 403 daripada 478 pusat tahfiz yang beroperasi di seluruh Selangor berjaya
didaftarkan bawah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).


Pengarang :