AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Hijrah tawar pembiayaan hingga RM50,000, bantu usahawan kembang niaga secara digital

Oleh Fitri Hazim Hazam

SHAH ALAM, 1 SEPT: Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) mempelawa usahawan negeri ini yang ingin mengembangkan perniagaan memohon pembiayaan Skim Go Digital Hijrah.

Agensi itu berkata tawaran dibuka buat usahawan dengan pembiayaan sehingga RM50,000 mengikut syarat kelayakan ditetapkan.

“Skim Go Digital Hijrah Selangor diwujudkan untuk membantu peniaga mentransformasikan kaedah perniagaan ke arah digitalisasi melalui platform terkini dan moden.

“Dengan pemasaran perniagaan secara digital, ia dapat membantu meningkatkan keupayaan pasaran produk dan servis yang akhirnya mampu memaksimumkan keuntungan hasil jualan secara dalam talian,” katanya menerusi Facebook.

Skim ini boleh dimohon melalui pautan http://mikrokredit.selangor.gov.my/ atau hubungi 19 cawangan Hijrah.

Selain Go Digital, Hijrah turut menawarkan skim i-Bisnes, Zero to Hero, Niaga Darul Ehsan (NaDI), i-Agro, i-Lestari, dan i-Bermusim.

Berikut antara syarat kelayakan pemohon:

  • Warganegara Malaysia
  • Penduduk atau permaustatin di Selangor melebihi lima tahun
  • Mengundi di Selangor
  • Perniagaan sudah beroperasi
  • Mempunyai premis perniagaan khusus
  • Berumur 18 hingga 65 tahun

 


Pengarang :